Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, December 23, 2008

Puisi untuk SAZ

Siti Aisyah Binti Zakaria.
Nama yang tetap harum menwangi.
Pada kami, anak-anak dan sanak saudara
Pada suami kau tentu akan dirindui



Kepada Allah kita bermunajat
Berubat, solat hajat, Yaa Sin dan Mathurat.
Bersama doa sanak saudara juga sahabat.
Moga Siti Aisyah kembali sihat


Jiman suratanmu telah berlaku.
SAZ yang disayangi telah mendahului mu.
Kering sudah airmata mengiringi sendu
Pada malam Jumaat yang penuh sayu


Blog jendela hatiku kaku tidak terpahat
Ilhamku kelu walaupun untuk sebaris ayat
Blogmu warna nostalgia sungguh menyayat
Coretan insan marhaen penuh tersirat


Jendela hatiku lama menyepi
Ilhamku kelemasan jiwa menangisi
Cuba ku bangunkan sebuah puisi
Agar jendela hatiku terus berseri.


Berserta kasih cinta setia
Ke hujung hayat tidak dilupa
Berbahagialah dikau damai di sana
Segugus doa ku iring bersama

Al Fatihah buat mu SAZ.

Thursday, December 18, 2008

Sedangkan Nabi Ampunkan Umat.

Sumbangan kerusi roda kepada yang memerlukan. Sebagai seorang insan ciptaan Tuhan beliau juga layak menikmati keadilan dan kasih sayang bermasyarakat walaupun beliau seorang India beragama Hindu.

Menerima maaf daripada seseorang amat dialu-alukan. Namun bak kata pepatah, "Walaupun luka sudah sembuh tetapi parutnya masih kelihatan". Jadi berhati-hati selalu apabila membuat sesuatu percakapan atau perbuatan yang melibatkan orang lain. Apatah lagi yang akan membuatkan orang lain tersinggung. Sebab itu apabila kita sendiri dalam keadaan marah jangan membuat sesuatu tindakan lagi. Tangguh dan alihkan perhatian kepada yang dapat memberi ketenangan seperti mengambil wudu' atau solat sunat.

Mari kita ambil iktibar hadis ini. "Jangan kamu saling dengki dan iri dan jangan pula mengungkit keburukan orang lain. Jangan saling benci dan jangan saling bermusuhan serta jangan saling menawar lebih tinggi atas penawaran yang lain. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara kepada muslim lainnya dengan tidak menzaliminya, tidak mengecewakannya, tidak membohonginya dan tidak merendahkannya. Letak takwa ada di sini (Nabi saw menunjuk ke dada beliau sampai diulang tiga kali). Seseorang patut dinilai buruk bila merendahkan saudaranya yang muslim. Seorang muslim haram menumpahkan darah, merampas harta, dan menodai kehormatan muslim lainnya." (Riwayat Imam Muslim)

Mungkin kita kita pernah melakukan kesilapan secara sengaja mahupun tidak sengaja tetapi yang pentingnya kita boleh mengakuinya dan bersedia meminta maaf. Itu tindakan yang terbaik. Manakala di pihak yang lain sedia memaafkan dan berlapang dada untuk berbaik semula. Alangkah indah hidup ini kerana kita tidak keseorangan.

Tuesday, December 16, 2008

Rehlah Keluarga JIM SPT Disember 2008.

Adik Nurul Izzah Bt Darus berkain merah di sebelah Ketua Wanita JIM SPT Kak Mon, bercita-cita untuk menjadi doktor pakar bedah. Gen -Z di kanan sekali kakaknya Nabilah bakal ustazah.

Seramai 10 keluarga JIM SPT berbincang mengenai Ucapan Dasar Ketua Wanita dan Presiden JIM.

Sabtu 13 Disember 2008, selepas bersama meraikan kenduri kahwin anakanda sahabatku Hj Rashid dan Kak Zah, kami warga JIM SPT bergegas ke program "Rehlah Kaluarga JIM SPT" di Sedim Eko Theme Park Resort. Program dimulai sejak jam 3.00 petang hingga 5.00 petang untuk melapor diri, mandi manda dan persiapan BBQ. Aku sampai lebih kurang jam 6.00 petang, lewat kerana perlu menguruskan beberapa perkara terlebih dahulu. Kemudian kami makan malam BBQ hingga 7.00 malam. Solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Hj Isa dan Tazkirah Perdana disampaikan oleh Hj Atan TYPD JIM SPT yang ditugaskan sebagai JK TPSM (Tarbiah& Pembangunan Sumber Manusia) dengan pengisiannya tentang perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah saw, seperti Muaz Al Jabar & Umar Al Khatab. Siap dengan tangkap syahdu apabila menceritakan perihal Umar pada zaman jahiliahnya.

Anak-anaklah yang paling seronok bermain air di Sungai Sedim ini

Isyak berjemaah diimamkan oleh sdr Zulkar9. Kemudian kami berbincang mengenai ulasan Ucapan Dasar Ketua Wanita dan Presiden JIM yang dibentangkan oleh Hjjh Zabedah dan saya sendiri. Pada penutupnya pula Ustazah Saliza & sdr Harryzan memberi penyampaian mengenai HPA pelan perniagaan dan banyak penerangan terkini. Semua penyampaian pada malam itu menggunakan projektor & PC. Siap PA System JIM SPT yang dibawa khas dari PKJ (Pusat Komuniti JIM) dan tamat kurang lebih jam 11.59 malam.

Hj Atan dengan Tazkirah Perdana memberi sentuhan yang istimewa kepada semua. Ada satu ketika beliau terhenti kerana terlalu sebak mencerita mengenai sahabat Umar Al Khatab menanam anaknya hidup-hidup sewaktu zaman jahiliahnya.


Along berihat kerana kakinya sakit. Dia melompat terus dari beranda rumah terus ke sungai. Anak Gayong katakan.

4.30 pagi hari Ahad 14 Dis 2008 dimulakan dengan qiam di kediaman masing-masing. Sebuah banglow untuk akhawat (wanita) dan anak-anak. Dua buah rumah berkembar untuk ikhwah (lelaki), remaja dan aulad (anak-anak lelaki) yang lain. Subuh diimamkan oleh Ust Hj Rozee, JK Ulamak dan sedikit penerangan mengenai pengharaman "yoga" oleh Fatwa Kebangsaan. Terus dengan sesi taaruf generasi Y & Z. Anak-anak ini telah diberi peluang bercakap meperkenalkan diri, ibu bapa & cita-cita mereka.
Inilah sebahagian besar keluarga JIM SPT. Selepas senaman pagi.

Senaman pagi dibawa oleh sdr Ahmad Baharuddin. Selepas sarapan sesi PATT (Pagi Ahad Tidak Tidur) bermula dengan aktiviti air dan sebagainya. Rata-rata program ini memang menyeronokan. Tempat bagus, BBQ pun sedap, Tazkirah menginsafkan dan memotivasikan, mandi sungai pun puas dan penganjuran yang baik dan amat sesuai untuk semua. 10 keluarga dan beberapa yang bujang satu jumlah yang agak besar juga. Jzkk (terima kasih) kepada Kak Mon dan akhi Zulkar9 diatas penganjuran program ini dan juga akhawat sekalian yang menyediakan makanan. Lepas itu pergi kenduri adik Rahimie Che Yen pula di Penaga.


Hj Atan dok main 'Tai Chi' nya. Beliau terkenal dengan panggilan 'Prof Tai Chi'. Sekali sekala berenang macam spesis jerung. Nak tahu tanya Ahmad Baharuddin.

Sampai ke rumah jam 6.00 petang telah menghatar keluarga Ust Zulkifli di Pematang Janggus dan Naimah di Kubang Semang. Alhamdulillah terasa puas dikurniakan kesempatan bersama sahabat-sahabat tercinta. Terima kasih Allah kerana mengizinkan aku bersama mereka ini.

Friday, December 12, 2008

Aku mungkin tidak akan ada di sisi mu nanti.

Anak-anak mudah dibawa arus kehidupan. Kita sebagai orang tua harus sentiasa mengawasi agar mereka tidak akan hanyut . Luangkan masa yang sesuai untuk mereka.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Semoga dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan di alam ini.

Anakku! Carilah beberapa wadah yang membina modal insan. Pelihara dan sayangi apa yang kamu ada. Imbangi yang hak kepada yang berhak dan ketahuilah tiada cuti bagi seorang pejuang.
Inilah Sungai Batang Padang yang pernah aku minum airnya entah berapa baldi semasa aku dibesarkan di Kampong Lubuk Katak, Tapah, Perak.
Anakku! Ada mereka yang tiada negara ada mereka yang menumpang di negeri sendiri maka pertahan tanah airmu sendiri. Anakku jangan yang diburu tak dapat yang dikendung berciciran. Jauhi fitnah kerana ianya akan merosakan kamu. Carilah rakan dan teman yang boleh dijadikan cermin diri. Jika kau memilih tukang besi sebagai kawan maka kau akan selalu merasakan bahang kepanasan dapurnya bila dia kau dekati. Tetapi jika kau memilih bersahabat dengan si penjual minyak wangi, kau akan sentiasa menghidu wanginya walaupun kau tidak memakai minyak wangi itu.

Anakku! Bersilaturrahimlah, imbangi yang hak kepada yang berhak. Dirimu ada haknya, keluargamu ada haknya. Ayah dan ibu pun ada haknya. Jiran, masyarakat, negara dan agama ada haknya. Tunaikan ia sebaik mungkin. Ingat anakku jangan kau leka dan asyik lena daripada menunaikan hak-hak ini. Kau mungkin masih muda dan mahu bersiar-siar dan berseronok. Jawab ayah boleh tetapi ada hadnya anakku. Habiskan masa-masamu dengan memberi sedikit ruang untuk dirimu bermunajat kepada Allah SWT. Jangan dikau habiskan dengan sembang-sembang kosong di tepi-tepi jalan. Rihatlah dengan cukup dan tidurlah bilamana semua orang tidur kerana tenagamu amat tinggi harganya untuk diguna pakai pada keesokan hari.

Anakku! Jaga auratmu kerana ayah tidak berupaya berada di sisimu setiap masa dan setiap tempat. Jagalah maruah ayah dan ibu. Senangkan hati kami dan jadikanlah diri kamu anak yang baik. Tidak memeningkan kepala ayah ibu. Tidak menyusahkan ayah ibu dan sentiasa menghormati kami berdua. Rumah kita dan kereta yang ayah beli mungkin menjadi milikmu satu hari nanti kerana ayah tidak akan mampu membawanya ke dalam kubur ayah kelak. Kemungkinan wang simpanan KWSP ayah pun tidak tahu sama ada ayah sempat menggunakannya untuk pergi ke Tanah Suci atau membayar kembali pinjaman peribadi ayah kepada bank.
Along nama penuhnya Mohd Saiful Nizam Bin Rusli, menjadi harapan aku untuk meneruskan perjuangan yang mungkin tidak aku kesampaian.
Anakku selalulah berdoa. Berdoalah agar Allah SWT sentiasa melindungi mu. Pintalah semoga dikekalkan hati mu sentiasa di jalan yang benar. Pintalah semoga diterangkan hati mu dengan cahaya rabbani yang tidak kunjung malap. Pintalah agar dilapangkan hati mu dengan Nur Iman, keyakinan dan keteguhan tawakkal. Pintalah dalam doamu itu kehidupan seorang pejuang dan kematian mu sebagai syuhada dalam memperjuangkan agama Mu.

Anakku! Dengarlah betul-betul dan fikir-fikirkan. Ini adalah kerana ayah mu tidak akan sentiasa di sisi mu nanti.

Thursday, December 4, 2008

Takut tidak sempat.

Membuat kerja amal memang digalakan dalam Islam.
Peluang kadang-kala tidak boleh dilepaskan dengan begitu sahaja kerana dikhuatiri ianya tidak akan ada atau berulang untuk sesekian kalinya. Rebutlah peluang itu pada masa sihat, muda, lapang, senang, kaya dan semasa hidup. Jangan sampai bila sudah sakit, tua, sempit, susah, miskin dan mati baru hendak membuat kebajikan. Baru hendak cari tikar sembahyang, baru hendak ke surau masjid, baru hendak bersedekah, baru hendak berpuasa, baru hendak memberi zakat dan baru hendak ke Mekah. Baru ingat adanya Tuhan.
Asuhlah mereka dari kanak-kanak agar biasa membuat kebajikan untuk orang lain.
Kehidupan harian boleh diteruskan sesuai untuk memenuhi keperluan dan tanggung-jawab yang terpikul. Sebagai seorang pelajar, jadilah seorang pelajar muslim yang tekun dan memberi keutamaan kepada perkara menuntut ilmu. Sebagai pekerja jadilah pekerja yang gigih, rajin dan beramanah kerana itu sememangnya kehendak Islam. Sebagai seorang anak, jadi anak yang soleh dan solehah, taat dan bertangung-jawab serta membantu keluarga. Sebagai ibu dan bapa laksanakan hak dan tuntutan keibubapaan, mengasihi, melindungi, mendidik anak-anak, peka mengambil tahu dan sentiasa memandu arah kepada keselamatan mereka. Sebagai pimpinan masyarakat berlaku adil dalam semua tindak-tanduk, membantu dan memberi khidmat sebaik mungkin tanpa dipinggirkan seorang pun. Pergaulan yang sihat akan membari manfaat yang amat besar untuk masa depan.
Jika telah melakukan kesalahan jangan teragak-agak meminta kemaafan. Jangan ditunggu pada pagi Hari Raya sahaja baru mahu bermaafan takut nanti tidak berkesempatan. Masa tidak akan menunggu sesiapa dan ajal tidak akan dapat ditolak-ansurkan. Berubahlah dari keadaan sekarang kepada yang lebih baik. Jangan ditunggu-tungu untuk melakukan perkara-perkara kebaikan. Takut tidak sempat.

Tuesday, December 2, 2008

Ku Cari Damai Abadi


Dalam kedinginan dakapan usia senja
Sempat aku renungi redupan sinar mata
Banyak menyimpan rahsia suka dan duka
Menunggu menanti kehadiran entah siapa
Yang kononnya sibuk sekali tiada terkata

Sayu sungguh hembusan sang bayu
Membelai lembut kerutan wajahmu
Lemah longlai langkah kaki mendahulu
Tiada rela sentiasa menjadi perindu
Meniti kesunyian persis penunggu

Suratan takdir Ilahi telah tiba
Mengundang satu perjalanan jauh sehala
Yang tidak mungkin mampu menahan hiba
Lantaran cuma doa dan tangisan airmata
Merelakan perpisahan kita seketika cuma

Ku pohon dikau sejahtera dan dikasihi
Perjuanganmu pasti akan ada yang susuli
Ingatan tulus doaku tiada putus di sanubari
Damaikan kami bersama golongan diampuni
Dirahmati dan tenang menjadi tetamu Illahi

Sunday, November 30, 2008

Dari cermin belakang ku lihat ...

Pengalaman yang sudah mematangan diri namun perjalan harus diteruskan tanpa henti cuma kekuatan yang saki-baki ini perlu dibina kembali. Cari ubat-ubatan tambahan atau minuman macam 'Kopi Radix' "Mai secawan".
Dari cermin kereta aku melihat ke belakang dan itulah yang selalu aku lakukan sebelum menekan minyak untuk memulakan perjalananku. Kadang-kadang terlupa membaca doa, ini satu kelemahan kerana ghairah memikirkan destinasi yang hendak ditujui atau terasa amat terlewat ke sesuatu program itu.

Ambil iktibar.
Begitulah kita dalam penghidupan ini. Adakahnya malah tiada salahnya kita sering merenung ke belakang untuk melihat dan meninjau perkara-perkara silam yang boleh dijadikan pedoman, peringatan dan iktibar agar kita mampu membuat yang terbaik untuk perkara-perkara ke hadapan pula. Rugi jika kita mengulangi kesilapan semalam. Rugi jika kita tidak mengambil kesempatan peluang yang terhidang di hadapan. Rugi jika hari ini kurang baik daripada hari semalam.

Penyerahan kepada Allah.
Dalam hidup ini alangkah baiknya jika semua ketika itu adalah ibadah. Ini ada dinyatakan didalam Al Quran yang bermaksud “Tidak Aku jadikan Jin dan manusia ini melainkan beribadah kepada Ku”. Maka setiap perkara yang hendak dilakukan hendaklah mengingati Allah SWT samada dalam bentuk doa atau dzikir. Nescaya kerja buat kita akan lebih diberkati dan mendapat pahala disisiNya. Ini disiplin para pendakwah.
Ramai yang berbangsa Tiong Hua di Mengkuang Dam pagi ini dan ada yang melakukan senaman 'Tai Chi'. Apa pula Fatwa Kebangsaan mengenai 'Tai Chi' ini? Rokok haram kenapa tidak dipatuhi?
Tunaikan hak.
Setiap kita ada hak-hak yang perlu ditunaikan sebaik mungkin. Hak kepada diri sendiri seperti berihat, tidur, bersenam, makan dan minum. Hak kepada keluarga dan kerjaya, nafkah, pendidikan, pakaian, rumah, kerja yang bermutu, tepati masa, beramanah dan lain-lain lagi. Hak kepada agama dan masyarakat. Hak kepada jamaah dan Negara. Buatlah sedaya upaya. Jangan mencari alasan carilah jalan untuk melaksanakannya. Mahu seribu daya tak mahu seribu dalih.
"Kak Ida berbaju kuning dalam perjalanan balik setelah berPATT dan pagi ini. Dia 'jogging' tak larat nak aku kejar. Mana sahabat-sahabat lain? Anak-anak pula masih dibuai mimpi. Ajak p shopping atau makan tak tak tinggal punya." Deqnor ? Teringat Fizah dari Bangi apa khabar dia?
Anjalan (flexibility)
Rancanglah sesuatu perkara atau masa kita dengan bijaksana. Ada orang hanya boleh melakukan satu perkara dalam satu masa. Ada juga yang boleh melakukan dua perkara dalam satu masa dan bergitulah seterusnya. Mungkin agak susah dalam satu masa itu dua perkara boleh terlaksana namun ianya tidaklah mustahil. Cuma mereka yang ada kemahuan yang akan mencari jalan melakukannya dengan cara atau urusan perancangan yang tersendiri. Orang yang sibuk yang akan boleh memberi ruang kepada sesuatu hajat itu daripada orang yang tiada sibuknya. Ini kerana mereka yang sibuk sangat mengharga masa.

Friday, November 28, 2008

Tempat bertapak makhluk halus.

Aku amat empati dengan dugaan yang melanda keluarga Jiman. Kemarin puas aku fikirkan bagaimana hendak aku menolong sahabatku ini. Aku sememangnya ada mengetahui beberapa rakan silat yang arif dan biasa dengan menghalau makhluk halus ini. Tetapi bagaimana hendak aku bawa mereka ini mambantu Jiman sedangkan ada beberapa perkara itu aku sendiri kurang mengerti corak dan permainan pengubatan mereka.

Di tempat kerja, aku tidak senang duduk. Hendak aku menghubungi seorang guru silat yang amat rapat dengan aku tetapi merasakan tidak mahu menganggu beliau pula. Walaupun beliau banyak memberi dan mengajarku beberapa kaedah dan ayat-ayat yang ada berkait dengan gangguan makhluk halus ini tetapi aku masih belum bersedia menggunakannya lagi.

Di dalam pengajiannya, di dalam tubuh manusia ini ada satu ruangan kosong yang disebut "jinjang". Macam jinjang pelamin. Ada orang yang ruangannya ini telah dipenuhi dengan berbagai amalan dan ada orang yang jinjangnya kosong. Jinjang yang kosong inilah mudah bertapaknya makhluk halus. Jika ada terdapat pintu jinjang yang terbuka oleh kerana kelemahan seseorang itu maka mudah 'benda-benda ini' masuk. Apabila ianya telah atau pernah dimasuki maka jagalah ia akan selalu dan mudah dimasuki lagi.

Tempat jinjang ini tidak diketahui dengan tepat. Namun makhluk halus ini boleh meresap hingga ke saluran darah. Dia juga boleh bersembunyi di celah atau di dalam sendi-sendi dan di tempat-tempat sulit. Cara-cara menghalaunya adalah berbeza dari satu pengajian dengan pengajian yang lain dan alat-alat yang digunakan juga berbeza. Kita juga jangan mudah percaya dengan kata-kata (isyarat) atau janji makhluk halus. Mereka banyak tipu muslihat.

Kebiasaannya mereka yang belajar dan menuntut ilmu silat jinjangnya akan penuh. Namun jinjang ini boleh terbuka dengan cara dan sebab-sebab tertentu. Pernah rakan baik aku yang sealiran dengan silat yang aku pelajari dicuba oleh seseorang untuk memasuki sesuatu ke dalam dirinya namun tidak berjaya.

Aku harap tidak akan mengelirukan sesiapa dengan pengetahuan ini. Ini cuma pengajian daripada satu aliran silat semata-mata dan tiada nas-nas yang shohih atu kitab muktabar untuk aku buktikannya. Ia bukan pegangan aqidah tetapi ianya cuma satu pemerhatian, pertua dan kaedah.

Aku terima berita ada beberapa sahabat akan ke rumah Jiman malam Jumaat itu untuk baca Yaa Sin dan solat hajat. Maka aku pun mahu turut serta kerana ini adalah jalan yang amat baik untuk kita secara jamaie bersama bermunajat kepada Allah SWT. Dialah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang mengizinkan segala sesuatu.

Ya Allah sembuhkanlah Siti Aishah Binti Zakaria dengan sebaik-baiknya dan lindungilah keluarga Jiman dari segala gangguan samada yang halus mahupun yang kasar. Amiin.

Thursday, November 27, 2008

Gigitan pacat ber'larva'.

Sudah lebih sebulan, Alhamdulillah kesan gigitan pacat di kaki kananku sudah hampir sembuh. Hanya tinggal kesan parut yang kian menghilang insyaAllah. Itulah dia 11 gigitan pacat dari Lata Celak, Iboi (Mukim Kupang), Baling, Kedah. Aku sudah beberapa kali sebelum ini digigit pacat dan pernah suatu ketika di Bukit Pacat, Trong, Taiping sehingga lebih 40 gigitan. Namun kali ini lain dari yang lain.

Gambar di atas semasa tengah teruk. Gambar di bawah parut yang baru hendak baik.
Setelah tiga kali ke kelinik di tempat kerjaku aku dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Lam Wah Ee. Dr Khoo SS merawatku, beliau mengatakan aku dihinggapi sejenis 'larva' dari sejenis cacing yang hidup dan membiak. 'Larva' ini kata beliau adalah dari najis kucing atau anging. Aku menafikannya dan mengatakan ini adalah kesan gigitan pacat. Atau mungkin dari najis babi hutan yang memang banyak di kawasan dalaman hutan Lata Celak itu. Tetapi mengikut pengetahuan Dr Khoo tidak mungkin najis babi hutan. Aku pun malas hendak berhujjah lagi. Beliau doktor pakar memang mengaji bab ini sedangkan aku adalah pesakinya dan kaki akulah pergi ke tempat tersebut bukan kaki beliau.

Ingin aku berkongsi di sini apabila kita hendak ke kawasan yang ada banyak pacat, pastikan kita memakai kasut dan masukkan seluar ke dalam sepatu. Kemudian gunalah Ridset Hijau atau yang seperti itu disemburkan ke kasut dan sepatu kita. Jika kita terkena gigitan, jangan terus tarik pacat itu. Cuba guna sebarang minyak atau bam panas dan sapukan ke pacat itu. Dia akan jatuh sendiri tanpa meninggalkan bisa atau mungkin giginya (tak pasti) pada luka gigitan itu.


Nasib baik pacat-pacat itu tidak bawa beg macam gambar di atas. Jika seekor satu beg jenuhlah aku.
Jika telah tamat perjalanan atau aktiviti masuk hutan itu, segera mandi dan bersihkan diri agar jika ada 'larva' yang seperti saya alami boleh dikeluarkan dengan membersihkan tempat gigitan pacat-pacat itu. Sapu krim antiseptik untuk mengurangkan gatal dan elakkan daripada mengaru di tempat gigitan tersebut. Jika masih gatal-gatal lagi cari ubat selsema atau ubat alahan, cetirized hydrochloride 10 mg, seperti jenama ZERTEC atau SIMTEC. Makan 1 biji setiap hari. Jika masalah berlarutan jumpalah doktor.

Tuesday, November 25, 2008

PPN2008 di Darul Puteri, Cheras, KL.

Para perwakilan ramai yang menyatakan ini adalah PPN yang paling 'best'. Diantaranya ialah kerana terdapat kelebihan kehadiran generasi pelapis yang digelar-gelar Generasi-Y berbanding PPN yang sudah-sudah. Bagi yang mahu mengetahui lebih lagi sila carikan apa itu Gen X, Gen Y dan Gen Z. Kedua sewaktu sesi pergolongan Presiden jam telah masuk 7.00 malam tetepi masih ramai perwakilan yang tidak berganjak daripada tempat duduk. Ini menunjukan semangat dan tanggung-jawab dilaksanakan sehingga selesai. Tazkirah Perdana selepas maghrib oleh Dr Farid sudah pasti memberi kesan dengan nada naik turunnya dengan nas-nas Al Quran deng fasih diutarakannya pasti menjentik hati-hati yang keras ini.

Isahak, aku & Asrul kami nampak segar walaupun pada hari kedua. Tengok baju koperat JIM yang aku pakai. Segak tak?
Bagi aku berjumpa sahabat-sahabat, ikhwah dan da akhawat merupakan diantara nikmat yang sungguh menyeronokan. Tidak kita dari satu negeri atau negeri-negeri yang lain. Boleh dikatakan semuanya pasti menegur satu sama lain apabila berhadapan atau berselisihan sewaktu berjalan. Begitu juga dengan JKP masing-masing mempunyai santunan mereka yang tersendiri.

Aku kali ini tidak menempah mana-man bilik semasa PPN2008 ini kerana dapat menumpang di rumah adik kandungku yang bongsu Zaharah di Ulu Selangor dekat Sungai Buluh. Semua keluargaku bersama didalam permusafiran ini. Anak-anakku semua ada bersama. Along, DeqNor, Syuhadah dan Muhammad Sobri. Begitu juga dengan emakku, adik pertamaku Seliha, adik keduaku Zarinah dan anak-anak saudaraku. Semuanya berjumlah 12 orang. 'Balui' memakai UNSER ini.

Waktu rihat aku diajak ke bilik 116 Asrama Darul Puteri ini bersama "Gang Barat Daya". Tentu kamu dapat mengagak banyak cerita lucu dan ceria semasa di bilik mereka. Kalau ada kesempatan namti aku coretkan. Dari cerita-cerita dari Pulau Pinang hingga ke puncak Gunung Tahan. Hendak tahu teknik tidur berbaring kepada dinding yang menegak? Boleh tanya YDP Barat Daya.

Terima kasih ZulF, Latif, Wan, Zainuddin dan Mohd Tuah kerana sudi menerima aku ini.

Sunday, November 23, 2008

Aku Sayang Pada Mu

Inilah diantara sahabat-sahabatku dalam ajk JIM SPT (Jamaah Islah Malaysia Seberang Perai Tengah) yang merupakan tunjang atau tulang belakang dalam perjuangan kebajikan dan dakwah setempat. Semoga mereka Allah SWT kurniakan sebaik-baik kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Semoga kita akan tetap beristiqamah di dalam jamaah yang murni ini.


Sekarang Ahad 23 November 2008, aku teringatkan kalian. Jam 4.15 petang dan aku masih berada di Dewan Besar Darul Puteri Cheras Kuala Lumpur ditemani isteri tercinta Pn Rahidah Saad. Dalam agenda penting peringkat nasional iaitu PPN, Perhimpunan Perwakilan Nasional 2008. Kalau aku masih dan mampu ingat, aku ini hampir tidak pernah menguzurkan diri dalam menghadiri PPN ini. Walaupun kadang-kala bukan mudah hendak memenuhi tanggung-jawab ini sebagai YDP (Yang Dipertua) JIM SPT. Beberapa jam lagi hendak pulang ke Tapah dan kemudian ke Pulau Pinang tidak bersama kalian seperti dahulu-dahulu tetapi sekarang bersama keluarga yang menemani perjalanan ini.

Terlalu banyak yang hendak ditulis hasil atau mutiara-mutiara PPN 2008 ini, tetapi biarlah masa dan ketika yang lebih sesuai aku cuba kongsikan insyaAllah. Cuma aku hendak nyatakan kepada kalian aku sering pandang ke kiri ke kanan dan rasa keseorangan walaupun ada lebih kurang 300 orang perwakilan di sekeliling aku ini.

“Wahai Tuhan yang membolak-balik hati-hati, tetapkan hati-hati kami ini dalam agama Mu”.

Thursday, November 20, 2008

"Hari ini hari hang, esok ..."

Pada pagi itu air mataku mengalir keluar tidak dapat aku tahan lagi. Basah sedikit cermin mataku namun aku cuba mengawal perasaanku agar tidak menganggu seorang insan yang sedang berihat di surau di tempat kerjaku. Jika dia tiada nescaya aku aku layan sebak di dadaku yang sungguh mencengkam. Mana tidaknya aku baru menerima 'e-mail' daripada seorang sahabatku yang bagi aku memang sedang diuji hebat oleh Allah SWT. Aku cuba bayangkan jikalau akulah di tempat dia mungkin aku akan kecundang lebih awal lagi. Sungguh hebat penderitaan yang ditanggung sehingga di penghujung 'e-mail'ku bila membalas 'e-mail'nya mata aku berkaca dan hampir menitiskan air mata. Aku cuba kawal kerana tidak mahu mereka yang ada di pejabat melihat aku berkeadaan begini. Aku cuba memberi beberapa motivasi untuknya dan di akhir ayat aku menulis, "Sehingga tahap ini tiada apa nak dimalukan ini hari hang esok hari aku siapa tahu. Harap hang sudi menolong aku pula". Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Pagi itu di dalam sujud di rakaat kedua solat Dhuha, aku sungguh sebak sekali. Aku cuba mengadu kepada Allah SWT bahawa rupa-rupanya dugaan yang Allah timpakan kepada aku ini tidak seberapa jika dibanding yang ditanggung oleh sahabat aku ini. Maha Suci Allah yang menduga kita mengikut kemampuan kita. Tentu ada banyak hikmahnya yang tersirat di sebalik dugaan atau ujian ini.

Bagi aku, bagus dia boleh dan mampu menulis ‘e-mail’ kepada aku. Sekurang-kuranya akan mengurangkan tekanan di dalam jiwanya. Hari itu kemuncak tekanan dalam dirinya. Aku cuba menasihati dia bahawa tiap-tiap hari pasti mendatang dan tekanannya tiada sama mungkin kurang mungkin lebih. Aku berharap dia banyak berdoa dan berserah kepada Allah. Aku sering tidak akan abaikan berdoa untuk ‘dia’ dalam solatku. Agar Allah memberi jalan kepada permasalahan ini. Aku menasihati dia agar jangan fikirkan kepada perkara-perkara sampingan. Fokus kepada yang utama dahulu dan cuba cari ketenangan melalui solat dan tulisan. Doakan semoga semua kita lebih matang menghadapi hidup yang mendatang.

Kesianilah diri sendiri yang terpaksa menanggung ujian ini dengan memberi hak kepada yang berhak. Diri ada hak begitu juga yang lain-lain. Ganjarannya teramat besar jika kita berjaya menghadapi ujian ini. Cari unsur-unsur yang positif dan yang akan membantu. “You can alway count on me, InsyaAllah.”

Sunday, November 16, 2008

Kehadirannya tidak dihargai ketiadaanya diratapi.

Setelah usia semakin merangkak senja perasaan sayu semakin mudah merobek jiwa. Mana tidaknya kerana dia sering diherdik dan dipersalahkan oleh insan yang pernah dia sayangi, dia belai dan dia tatangnya. Diherdik bukan kerana kesalahannya tetapi kerana mereka sudah dewasa dan punyai kesayangan mereka sendiri. Kalau dengan teman lain di luar sana bukan main lembut dan manis bersuara bergurau-senda tetapi apabila di rumah lain sekali rentak nadanya. Ini satu fenomena kehidupan yang sememangnya tiada boleh dinafikan lagi dewasa ini.

Lihatlah timbunan batu-batu nisan ini yang dihakis masa dan cuaca. Tiada ketahui si empunya. Tiada yang ketahui lokasi asalnya untuk dicacakan semula. Mungkinkah warisnya tiada menziarahi. Mungkinkah ianya telah dilupai.

Susah payah masa mengandung sembilan bulan sepuluh hari sungguh perit jika dikenang. Setiap pagi sering pening kepala dan meloya. Tambahan dengan tidak berselera makan bukan dibuat-buat. Rasa mahu putus urat ini dan mahu pecah kerongkong setiap kali termuntah. Sakit belakang, sakit sendi, sakit gigi dan berbagai kesakitan dilalui. Saat yang paling getir ialah bersabung nyawa semasa melahirkan mereka. Mungkin mereka tidak tahu atau pura-pura tidak tahu walaupun mereka tahu.

Kasih sayang sepenuhnya dicurahkan sejak tapak kaki mereka itu sebesar dua jari. Tidak diizinkan nyamuk walau seekor pun mengigitnya. Disusukan mereka tidak kira siang atau malam, Dibelai dimanjakan dari kecil hingga besar. Sedih, sungguh sedih, balasan mereka sehingga sanggup memijak kepala. Mana tidaknya, kerap-kali bila diminta membantu di dapur tidak mahu. Bila suruh beli barang ke kedai jawabannya letih baru balik sekolah. Belum lagi kata-kata nista mereka. Mungkin mereka sudah besar. Tetapi bila kawan panggil melompat terus bangun. Kenapa jadi begitu?

Sering kita diperingatkan jaga dan berbuat baik kepada kedua ibubapa sementara mereka masih hidup. Bila mereka telah tiada baru kita merasa menyesal. Bukan lama mana sangat. Saki-baki hidup mereka kalau hendak dihitung mungkin tidak lama mana lagi. Tetapi ajal maut di tangan Tuhan siapa pergi dulu belum tentu. Takut mungkin semasa kita derhaka dan melukakan hati ibubapa, kita pula yang dipanggil Allah SWT dulu. Mana tahu? Jadi macam Si Tanggang. Macam Malim Kundang.

Jangan dengan kehadiran mereka tidak diingini kerana mereka suka membebel itu dan ini. Pakai baju begini tidak boleh. Keluar jumpa kawan tidak boleh. Balik malam tidak boleh. Minta duit lebih tidak boleh. Semua tidak boleh. Asyik tidak boleh. Fikirkanlah mungkin rasa lebih bagus mereka pergi cepat mengacau saja ! Begitukah yang kita mahu?

Wednesday, November 12, 2008

Siapa bakal ganti Ayah.

Tiba-tiba ternampak cahaya cerah di tepi jalan. Rupanya inilah satu-satunya tempat untuk berhenti samada untuk solat atau ke bilik air. Lain-lain itu mungkin telah tutup atau aku sendiri tidak perasan kerana tidak biasa dengan perjalanan ini. Kami pun berhenti untuk berihat. Keadaan di sekeliling masih kabus tebal. Terkejut aku yang ustaz kita belum solat Isyak lagi. Sibuk dengan tugas-tugas di tempat ceramah pada malam tadi mungkin. Waktu subuh belum masuk lagi kami mengambil keputasan untuk meneruskan perjalanan agar tidak kelewatan nanti

Ayah duduk di sebelah kanan dalam gambar. Nama penuh Ayah ialah Dato' Raja Abdul Majid Bin Raja Mat Isa.
Sesampainya kami di Kota Bharu terus tercari-cari Hotel Perdana. Kami dijemput bersarapan di hotel tersebut tetapi aku memilih untuk tidur kerana kepala ini sudah berdenyut-denyut semalaman memandu dan tidak tidur lagi. Keduanya tentu sarapan di hotel mahal harganya aku cuba berjimat sedikit. Aku menyuruh Ayah sahaja yang bersarapan dengan rakan-rakan lain. Sayu hati aku bila mendengar Ayah rupanya tidak makan sejak semalam. Memang aku mahu makan bersama dengan Ayah semasa dalam perjalanan seperti selalu. Tetapi kali ini kami tidak berjumpa tempat makan yang sesuai di sepanjang perjalanan ini. Kesian Ayah kelaparan di sepanjang perjalanan.

Ayah memang suka merendah diri, di bilik hotel Ayah membiarkan aku tidur di atas katil sedangkan beliau hanya menggunakan kerusi untuk berihat. Perjalanan kami ke Kota Bharu bersama Ayah membawa banyak pengalaman yang tidak mudah dilupakan. Semasa perjalanan pergi dan balik kami sempat tersempak dengan beberapa kumpulan gajah liar. Ayah memberi pandangan ini satu petanda baik, Ayah memberi salam kepada gajah-gajah itu. Kita akan berjaya besar katanya.

Perjumpaan dengan YAB Menteri Besar memang aku nanti-nantikan kerana ramai rakan-rakan telah menceritakan mengenai akhlak dan santunan beliau yang sangat tinggi. Sebagai seorang ulama' dan Ketua Negeri memang mencontohi sunnah Rasulullah saw. Ayah memilih aku menjadi jurucakap kami memulakan bicara. Aku terima bukan sebab pandai tetapi ini satu penghormatan yang Ayah suka berikan kepada aku. Aku sedang dan perlu banyak belajar. Mungkin cakap dengan orang ramai lain caranya. Tetapi bercakap dengan YAB Menteri Besar ini menjadi pengalaman pertama aku. Apatah lagi beliau juga adalah seorang ulama'. Dengan penuh sopan aku membuka majlis dengan memperkenalkan ahli rombongan kami. Kemudian Ayah pula memberi beberapa penerangan mengenai Gayong. Rasa sangat beruntung dapat bertemu dengan 'Tok Guru'. Paras rupanya jernih dan percakapannya lembut. Tenang rasanya hati ini. Walaupun beliau kurang sihat tetapi masih bersedia melayani kami ini.

Di Kota Bharu Ayah mempunyai ramai anak murid. Kami dilayani dengan begitu baik dan mesra sekali. Kami sempat mengadakan perjumpaan di Yayasan Tok Kenali. Semua memberi tumpuan kepada matlumat yang Ayah sampaikan. Ini kelebihan Ayah dapat mengeluarkan fakta-fakta sejarah dengan bersahaja. Siapa yang dapat mengambil tempat Ayah nanti? Umur Ayah sekarang sudah 69 tahun tetapi tiada yang setanding dengan Ayah di sudut kepimpinan dan ketokohannya. Aku sering tertanya-tanya mana pergi mereka yang seangkatan Ayah dahulu? Kenapa tidak bersama membantu Ayah disaat-saat Ayah memerlukan seluruh sokongan yang ada? Aku sangat bersyukur kerana Ayah sudi mengajak aku bersama beliau dalam misi besar ini.

Sunday, November 9, 2008

Rahsia persaudaraan.

”Rugi kita datang jauh-jauh tetapi tidak dapat apa yang kita hajati.” Ini satu keluhan yang perlu diberi perhatian. Dari satu sudut memang betul apa yang diungkapkan. Tujuan untuk mendapat sumbangan kewangan belum lagi tercapai. Itulah nasib sebahagian daripada masyarakat kita. Apabila diundang ke rumah Dato' dengan harapan apabila balik nanti sudah tentu Dato' akan beri sumbangan seperti yang telah dijanjikan. Program telah berlalu tetapi bayaran masih seperti dahulu.

Berjalan musafirlah melihat keagongan Allah. Renungilah rahsia ciptaan Allah. Pasti akan kau ketemui apa erti kehidupan itu.

Tetapi bagi yang berfikiran positif, mereka sudah terasa kunjungan itu penuh bermakna. Ziarah memang digalakan dalam Islam keberkatannya tidak ternilai. Ikatan ukhuwah atau pesaudaraan tidak dapat diukur dengan kata-kata cuma kemanisannya amat ketara. Pengalaman bermusafir banyak faedahnya. Berkereta bersama. Makan minum bersama. Berhenti berehat bersama. Solat Qasar Jama' bersama. Taaruf dan bercerita bersama. Pendek kata tidak sebegini kalau dibandingkan berjumpa pada ketika lain.

Pengalaman tidak dapat dijual beli walaupun boleh dikongsi. Perkongsian ini tidak semua orang boleh perolehi. Mereka yang sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga sahaja yang akan memperolehi pengkongsian ini. Bermusafirlah dan terokailah rahsia persaudaraan. Tentu kita teringin dan merindukannya selalu.

Tuesday, November 4, 2008

Perasaanku berkecamuk.

Gatal-gatal di kaki sudah tidak seberapa cuma di belakang betis kanan bekas gigitan pacat merebak seperti saluran urat kemerah-merahan menjalar ke beberapa arah. Ini memaksa aku berjumpa doktor buat kali keduanya. Namun hati ini masih merasa resah-gelisah entah mengapa. Kemarin tanggal 3 November 2008 ialah tarikh hari lahirku mengikut takwim Masihi. Maka genaplah umurku 47 tahun. Deq Nor menghantar sms dari Ipoh pada jam 12.00 tengah malam mengucap selamat hari lahir. Along menghantar sms pada pagi hari, siap dengan perkataan "Along sayang Abah". Sungguh terharu hati ini membacanya. Ini adalah salah satu perkataan yang amat susah untuk seseorang menlafazkannya. Along juga menghadiahkan aku satu set 3 bilah pedang pendek. Mungkin dia memahami ayahnya sebagai guru silat, ini merupakan diantara hadiah yang paling sesuai. Manakala Ida dan Syuhadah membeli kek hari jadi. Sobri sekadar mengucapkan "Selamat hari jadi Abah yee Abah dah tua".

Ini bukan tatoo tetapi kesan gigitan pacat di Lata Celak. Pacat di sini mungkin jenis yang luar biasa. Semua ada 11 gigitan tetapi yang ini sungguh terkesan. Lihat baru 10 hari ianya seperti hidup berlengkaran ke beberapa arah.

Namun perasaan aku masih berkecamuk. Pagi hari itu juga aku mendapat sms dari salah seorang anak muridku bertanyakan gelanggang yang sesuai beliau turun untuk kembali aktif berlatih silat. Namanya tidak terpapar di talipon bimbitku, maka aku menjawab sms itu untuk mengetahui siapa yang empunya sms. Beliau cuma menjawab, "Orang dari Halaman Areka". Jenuh juga aku fikirkan siapa dia. Aku mengambil keputusan supaya tidak mengendahkan sms itu lagi. Di tempat kerja pula dua sahabatku masih bercuti, Jo dan hafinah, bosan juga tiada teman untuk berbual masa rehat. Pagi itu aku tidak sempat solat sunat dhuha kerana ada mesyuarat pagi Isnin.

Mungkin perasaan aku terganggu kerana ada satu projek dan satu 'assignment' di kilang aku yang belum diselesaikan lagi. ‘Boss’ sentiasa bertanya dan mahukan laporan bertulis semuka pada hari itu juga sebelum jam 3.00 petang. Projek aku terlewat gara-gara vendor yang tidak dapat menepati masa. ‘Assignment’ aku pula terpaksa bergantung dengan cadangan dari kilang induk kami di Jepun dengan bantuan Shibuya San. Sepatutnya aku jangan campur-adukkan soal kerjaya dengan masalah peribadi. Walaupun pernah satu ketika dahulu aku menjadi ko-kaunselor dalam Unit Khidmat Nasihat Islah, membantu dan memotivasikan mereka yang memerlukan. Tetapi sebagai insan biasa aku juga perlu dikaunseling dan dimotivasikan.

Harapanku hari ini, aku pasti akan merasa terhibur kerana malam ini ada perjumpaan bersama sahabat-sahabat pimpinan JIM SPT. Perjumpaan yang dinamakan ‘usrah’. Perjumpaan mingguan bertanya khabar dan membincangkan hal-ehwal JIM, dakwah dan kebajikan. Satu perjumpaan mesra berkonsepkan keluarga. Jamuan ringan dan kadang-kadang berat telah menjadi agenda rasmi, itu yang seronoknya. Ini diantara satu rangkaian proses tarbiah JIM. Rugi jika ketinggalan.

“Ya Allah tambatkan hatiku ini dengan kemanisan berusrah”.

Sunday, November 2, 2008

Kenduri Kahwin Di Kg Kepayang

"Kemeh juge Kampung Kepayang dema nie Yop weh siap dengan pintu gerbangnye. Tentu mike-mike di sini terasa bangge. Biar pape asalkan bergaye tu Yop. Iyoolah"

Aku bergegas dari Tapah menuju ke Ipoh pagi tadi kerana telah berjanji dengan sahabatku Ahmad Baharudin atau lebih dikenali dengan Mat Bihun Sup untuk bersama ke kenduri perkahwinan adik sahabat kami ‘hafinah’. Kami bercadang bertemu di JUSCO berhadapan dengan JPJ Ipoh. Walaupun aku telah beberapa kali ke Kampong Kepayang ini namun masih meraba-raba apabila tiba di Ipoh ini. Ini memang kelemahan aku selalunya tidak dapat mengingat baik jalan atau tempat yang pernah aku lalui. Aku pernah belajar di Politeknik Ungku Omar Ipoh ini pada tahun 1979 hingga 1981, tetapi itu dahulu sekarang jalan-jalannya telah banyak sekali berubah.
Ramai juga tetamu yang datang, nyaris-nyaris tidak makan berdiri. Hidangan memang 'best' perut pun 'lapoor'. Teman lantak betul-betul.
Sampai ke rumah kenduri, hafinah tiada kerana mengambil Ibu_Suri. Aku berbual-bual dengan Along (Ahmad Azhar) dan Angah (Ahmad Firdaus) anak-anak hafinah. Majlisnya meriah ramai jemputan hadir. Tirai-tirai di khemah tetamu berwarna kuning, hafinah ini ada keturunan diraja ke ? Tetapi kedua-dua mempelai belum tiba dari rumah pengantin perempuan di Pulau Pinang.

Dari kiri; Angah, Along, Saiful, Ida dan Syuhadah di Kampong Kepayang, Ipoh. Gendang gendut tali kecapi kenyang perut tak boleh balik lagi.

Aku berharap kehadiranku ini bersama Ida, Syuhadah dan Saiful dapat memberi gambaran bahawa bertapa kami sekeluarga merasa besar hati dengan jemputan ini. Mudah-mudahan ianya menjadi satu petanda yang hubungan kami dengan keluarga hafinah tetap erat. Mudah-mudah Allah SWT memberkati hubungan ini dan semoga keluarga hafinah dikurniakan sebaik-baik kesejahteraan.

Saturday, November 1, 2008

Motosikal ‘Baru’ Adik.

Adik tersenyum riang sambil menunggang motosikal ‘barunya’ yang berwarna ‘meron’ menuju ke kedai minyak yang berdekatan. Senyuman yang bukan dibuat-buat kerana dari sekarang dia tidak payah risau lagi untuk menumpang mana-mana rakannya bila dia perlu ke sekolah atau mana-mana apabila aku tiada di rumah. “Adik tak mau bagi pinjam kat depa dan adik akan habaq motor ini sepupu adik punya”. Kata-kata Nurhidayah anakku yang ketiga. “Jangan begitu, jika adik tolong orang nanti orang pun akan tolong adik pula”. Aku menjawab. Dialog ini berlaku pada jam 6.30 petang hari Rabu tanggal 29 Oktober 2008 selepas selesai kami dengan urusan pembayarannya di sebuah kedai motosikal di Bukit Mertajam.

Adik bergaya sakan dengan motosikalnya. Pagi Sabtu ini dia hendak ke Mengkuang Dam mahu 'jogging' katanya dan lepas 'stress' kerana selalu 'dok study' sahaja.

Minggu sudah aku begitu nekad mencari jalan dan membuat keputusan bersama Ida. Kami akan berusaha mendapatkan sebuah motosikal untuk adik. Walaupun kami tahu kewangan pada kali ini agak meruncing kerana baru sebulan lepas raya, duit bayaran hostel ‘Deq Nor’ untuk semester ini dan duit koceknya masih belum aku bereskan lagi. Namun untuk adik kami alihkan sebahagian kewangan untuk duit muka membeli motosikalnya. Semoga Allah permudahkan rezeki kami.

Adik yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini sering merasa tertekan kerana jarak masa peperiksaan sangat hampir. Berbagai-bagai perkara boleh sahaja menjadi penyebab dia merasa tertekan. Kami sebagai orang tuanya sering berusaha sebaik mungkin untuk menghapuskan atau mengurangkan segala tekanannya ini. Berbagai permintaannya kami akan cuba penuhi semampu boleh dan untuk membeli sebuah motosikal itu merupakan satu pengurbanan yang sangat tinggi. Kami berharap adik tidak akan mempersia-siakan usaha kami ini.

Aku dan Ida sentiasa berdoa agar adik dan anak-anak kami yang lain beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Lain anak lain ragamnya namun selagi kami mampu dan diizinkan Allah kami akan berusaha memenuhi keperluan mereka insyaAllah. Harapan kami semoga mereka memenuhi pula keperluan kami untuk melihat mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Mampu berikari apabila kami tiada nanti. Amiin.

Thursday, October 30, 2008

Hormatilah ibubapa, orang tua dan pimpinan.

Dalam perjalanan hidup ini tiada terlepas daripada membuat kesalahan. Ada kesalahan yang dapat kita kesan dan ada juga kesalahan yang tidak kita sedari. Namun pasti sebagai seorang hamba kita perlu banyak kita beristighfar. Nabi Muhammad saw beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Itu baginda yang telah diampuni dosanya yang dahulu dan kemudian. Maka sudah wajar kita sebagai hamba biasa perlu lebih banyak beristighfar. Sebagai seorang insan kita tidak akan sunyi daripada membuat kesalahan mahupun disengajakan atau tidak. Kesalahan yang tidak disengajakan diantaranya ialah tidak beradap kepada mereka yang sepatutnya.

Ibuku Hajjah Umi Salamah Binti Hj Kantan bergambar pada pagi Hari Raya sebelum ke Surau Kg Lubuk Katak, Tapah, Perak untuk Solat Aidil Fitri.

Percakapan mahupun perbuatan dan tindak-tanduk kepada ibubapa harus sentiasa lunak dan baik. Walaupun kepada perkara-perkara yang dirasai kita ini betul. Namun kita tidak perlu disampaikannya dengan herdikan yang tidak berasas. Penyampaian dan gaya bahasa harus sentiasa baik dengan nada suara yang sesuai. Sebarang pertengkaran dan 'menegak benang basah' harus dielakkan. Beralah selalu adalah tindakan bijak. Begitu juga halnya kita dengan orang lain yang lebih tua atau dengan ketua dan kepimpinan. Mereka harus kita hormati. Sebarang perumpamaan yang menyindir apatah lagi mengutuk harus dijauhi.

Sikap merasai diri sendiri sahaja yang betul harus diselidiki dan dihapuskan. Jangan sekali-kali menutup ruang perbincangan dan hanya menyuruh orang menerima sikap jumud kita. Kononnya kita ini tegas dan ada pegangan hidup tersendiri. Bukalah sedikit ruang untuk orang lain memberi pandangan mereka. Mungkin ianya lebih menguntung kita. Mana tahu !

Monday, October 27, 2008

Senyumku Tak Dibalas.

Kaki ini masih terasa gatal-gatal dek gigitan pacat yang tidak kurang 10 ekor kerana dua hari dua malam bermuqayam (camping) di Lata Celak dalam program ‘tracking’ ke air terjun. Muqayam anjuran Ustaz Rosli bekas mudir Sek Agama Islah Tikam Batu, Sungai Petani projek syarikatnya Celak Management Services. Namun Tasik Mengkuang ku kunjungi pagi ini untuk membuktikan kesetian dan melepas rindu yang telah lama terpendam. Inilah diantara tempat latihan pertama kami Divisyen Rajawali JIMSPT berlatih dalam siri persiapan ke Gunung Tahan pada tahun 2000. Mengkuang Dam ini juga merupakan destinasi berhimpun sahabat-sahabat kami JIM pada hujung minggu dalam sesi tarbiah yang amat disukai iaitu PATT (Pagi Ahad Tidak Tidur).

Ida, Sobri dan Syuhadah menemani aku ke Mengkuang Dam, tasiknya sungguh tenang. Aku berdoa mudah-mudahan kehidupanku juga setenang tasik ini. "Wahai Tuhan yang membolak-balik hati-hati, tetapkan hatiku ini dalam agama Mu".

Pagi ini aku cuma mahu berjalan-jalan sahaja kerana perlu menyimpan sedikit tenaga untuk beberapa aktiviti yang menanti selepas ini. Diantaranya untuk menyahut panggilan SMS dari Ketua DERU (Disaster & Emegency Respond Unit) Ir Haji Abdullah Shabri untuk membungkus dan membalut hamper-hamper di rumahnya untuk sumbangan mangsa banjir di Jitra Kedah tengahari nanti. Membungkus hamper mungkin dapat aku menolongnya tetapi ke Jitra terasa agak jauh. Lagi pun ada beberapa perkara perlu aku bereskan pada hari ini.

Baju dan seluar merah segaja aku pakai untuk zahirkan semangat aku yang tinggi untuk beriadah bersama keluarga. Mana Hj Atan dan Ustaz Rozee tidak sampai-sampai lagi.

Suasana di Tasik Mengkuang ini sungguh indah dan nyaman sekali. Ramai yang mundar-mandir berlari atau berjalan dengan cara tersendiri. Tidak kurang ada yang menolak kerusi roda untuk orang yang tersayang menghirup udara nyaman di sini agar dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan daya kesihatan masing-masing. Ramai yang berbangsa Cina jika dibandingkan dengan orang melayu. Orang India memang tiada mungkin kerana hari ini Hari Depavali.

Hj Atan bersama puteri-puterinya mahu terus ke hujung tasik untuk membuktikan pada dirinya pun boleh, mampu ke hujung tasik dan terus patah balik. Dari kanan, Hj Atan, Nurul Izzah, Nabilah dan Balqis.

Aku cuba memberi senyuman kepada setiap orang melayu yang berselilih di hadapan ku. Tapi hampir semua senyuman aku tidak dibalas. Ramai yang lebih suka mengalih pandangan mereka ke arah lain. Mungkin keletihan atau mungkin malu berhadapan muka dengan orang lain atau mungkin … Ya banyak alasan atau kemungkinan yang boleh kita andaikan. Tapi aku harus tetap mencuba. Teringat aku waktu berkempen PRU12 dahalu, kita langsung tidak segan-silu bersalaman dengan berbagai bangsa yang berbeza semata-mata ingin merayu undi. Alangkah baiknya jika sikap dan semangat itu dapat aku teruskan.

Aku harus lebih memberi senyuman kepada semua tidak kira bangsa, mungkin akan lebih banyak senyuman yang aku terima nanti. Alangkah indahnya dunia yang penuh dengan senyuman ini.

Sunday, October 26, 2008

Sampan telah di air dan pengayuh telah ditangan …

Semua kita sudah maklum bahawa terdapat banyak aliran bela diri di negara kita ini. Semuanya sudah arif banyak juga aliran silat di negara kita ini. Maka kita seharusnya berusaha meningkatkan mertabat silat ini kepada satu tahap yang lebih tinggi. Sejarah telah membuktikan silat satu ketika dahulu memang disanjung tinggi samada orang kebanyakan mahupun di peringkat istana.
Masa berlalu berbagai pertukaran dan peristiwa berlaku. Silat dipinggirkan dan bukan lagi menjadi agenda utama. Kemudian ia dilupakan dan penumpuan tidak lagi dijuruskan kepada silat. Sayang kenapa budaya lain diagongkan-agongkan? Kenapa tidak kita naikan sekali lagi nama silat ke puncaknya semula?
Biar orang kembali tercari-cari silat kerana silat itu istimewa. Biar orang mencari silat kerana silat pilihan utama. Kita tidak mahu menjadikan ia sesuatu yang bila tiada seni bela diri yang lain baru mahu ambil silat. Jadikan silat ini pilihan utama. Penuhi semua sekolah-sekolah, IPT-IPT, surau-surau, masjid-masjid dan dewan-dewan orang ramai dengan aktiviti-aktiviti silat. Untuk memenuhi harapan ini kita perlu bersatu mengorak langkah memperbaiki diri dan pertubuhan kita. Tiada masa untuk berihat lagi. Sampan telah di air dan pengayuh telah ditangan hanya menunggu penumpangnya naik saja.

Alhamdulillah di celah-celah guru-guru tua ini masih ada putera-puteri yang yang sudi bersama memberi masa dan tenaga mengamal dan membudayakan silat.

Thursday, October 23, 2008

Wanita Oh Wanita Jagalah Diri Mu

Wanita sering diperlakukan dengan sesuka hati dan dipandang lemah. Mana tidaknya apabila berlaku perzinaan akibatnya akan ditanggung oleh wanita itu sendiri. Kaum lelaki mudah melepas diri dan lari dari tanggung-jawab. Akhirnya berlaku keguguran dan perbuatan buang bayi. Masyarakat akan menuduh si wanita yang jahat dan sebagainya.

Kedatangan Islam telah memberi satu kemuliaan bagi kaum wanita. Mereka dilayan dengan baik sesuai dengan sifat dan naluri kewanitaan itu. Menutup aurat melambangkan satu tahap harga diri yang tinggi. Tidak dibenarkan sebarangan orang melihat dan menyentuh tubuhnya tanpa ikatan yang sah. Tanggung-jawab, keutamaan hak dan kasih-sayang mesti dicurahkan dengan sebaik mungkin. Sebagai permaisuri rumah-tangga, sebagai teman setia, sebagai pembela maruah, sebagai penunduk nafsu, sebagai ibu dan penasihat keluarga. Sebab itu pernah kita dengar, "syurga di bawah tapak kaki ibu" dan ibu ini adalah seorang wanita bukan lelaki. Ini hakikatnya.

"Syurga itu di telapak kaki ibu" Maka santunilah mereka dengan penuh hormat dan kasih sayang. Jangan sekali-kali dilukai hati mereka. Jangan jadi seperti, "kacang lupakan kulit".

Oleh itu wahai kaum wanita, bersyukurlah dengan kejadian mu itu. Jagalah maruah mu dan maruah keluarga mu. Tutuplah auratmu kerana ianya akan menyelamatkan diri mu dunia dan akhirat. Hargailah sifat dan naluri yang Allah SWT kurniakan kepada mu. Beribadahlah dengan bersungguh-sungguh. Tuntutlah ilmu semampu boleh. Belajarlah sedikit sebanyak seni mempertahankan diri agar dirimu tidak mudah dicemari. Kerana aku kuatir kau tidak mungkin dalam penglihatan ku pada setiap tempat dan setiap masa. Pasti kau akan keseorangan pada masa-masa yang tertentu. Maka persiapkanlah diri mu. Semoga Allah memelihara mu dalam penglihatanNya yang penuh Rahman dan RahimNya.

Tuesday, October 21, 2008

SILAT SATU YANG LUAR BIASA.

"Tak bestlah silat ini tak ada terbang-terbang" Itulah jawaban seorang rakan apabila aku mengajak dia melihat latihan silat di perkarangan Masjid Al Huda di Sungai Ara. Aku juga pernah sependapat dengannya satu ketika dahulu sebelum aku mempelajaran silat Gayong ini. Ingin sungguh berkebolehan melompat tinggi kesana-sini. Berkebolehan berjalan di atas air. Mampu melentur besi dengan tangan. Mempunyai kekuatan yang luar biasa menumpaskan ramai orang sekali jus. Macam cerita-cerita di layar perak.
Kenalkah anda mereka ini? Dari kiri; Cikgu Rusli, Cikgu Ismail Abdullah, hafinah, Dr Danial, Cikgu Fuzi, Jiman & Ust Ahmad Fahmi Abu Bakar dalam satu majlis Anugerah Sandang Silat Pusaka Gayong di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang.

Aku masih berkeyakinan ini semua tidak mustahil jika diamalkan latihan dengan betul dan dengan izin Allah SWT. Namun adakah itu sahaja matlamat kita belajar silat? Untuk dijadikan jaguh dan mempunyai kekuatan luar biasa? Mungkin ada yang menjawab "Ya". Aku sanjungi jawaban itu, tapi bagi aku "Tidak". Kerana bagi aku silat mempunyai agenda yang lebih besar dari itu. Ianya adalah wasilat atau alat untuk kita berinteraksi diantara satu sama lain. Tidak boleh seorang seorang. Ianya adalah satu bentuk tarbiah atau cara mendidik insan. Agar berpegang teguh dengan tali Allah (Al- Quran dan As Sunnah) dan jangan bercerai-berai. Ianya adalah satu perjuangan yang berterusan. Mempertahankan aqidah, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Silat mempunyai tolakan yang luar biasa. Muridnya sungguh taat kepada guru. Sanggup berlatih dengan keras tanpa memperhitungkan penat, lelah, sakit, cedera dan segala natijah (hasil) dari risiko latihan keras tadi demi mendapat kemahirannya. Sabar bila diuji guru. Sabar bila dicabar orang untuk berkelahi mahupun untuk menguji kekuatan. Lagi tinggi ilmunya lagi tunduk dia merendah diri. Ini memang luar biasa.

Disamping disiplin yang tinggi, rasa hormat pengamal silat ini kepada guru amat luar biasa. Ada malah ramai dikalangan pesilat ini mengamalkan mencium tangan tok guru, berpelukan kiri dan kanan sebagai amalan biasa. Tetapi kekok jika berhadapan dengan kedua orang tua sendiri malah hendak menunggu hari raya pun belum tentu ada yang mengamalkannya.

Mana silapnya, tepuk dada tanya selera.

Seni Gayong Payung Pusaka
Naungan anika hikmat mulia
Rahsia tersimpan di Purba kala
Ilham menyusun lahir semula

Monday, October 20, 2008

Sediakan Payung Sebelum Hujan.

Bersilat merupakan suatu aktiviti yang amat berfaedah. Pada zaman dahulu mereka yang pandai bersilat digelar pendekar. Merekalah yang akan dilantik menjadi orang ternama samada Penghulu, Demang, Orang Kaya, Panglima dan berbagai gelaran sesuai dengan kehendak masyarakat pada ketika itu. Silat dicari dan dipelajari dengan bersungguh-sungguh walaupun terpaksa merempuh beberapa dugaan dan rintangan.
Anak-anak muda kita perlu dibekalkan dengan kemahiran bersilat agar dapat membantu mereka dalam menghadapi kehidupan yang mencabar ini. Adat warisan perisai diri penyambung tradisi.

Dengan arus berubahan semasa silat telah kurang diberi perhatian. Namun masih ada unsur-unsur yang mahu dan masih mempertahankannya. Silat telah didaftarkan sebagai pertubuhan agar ianya dapat bergerak dan boleh dipantau oleh pihak berwajib. Jangan cuba samakan silat dengan seni bela diri yang lain. Mungkin aspek kekuatan jasmani, rohani dan minda agak serupa tetapi silat mempunyai ikatan aqidah yang jitu. Ikatan inilah yang membezakan yang haq dan yang batil. Ikatan inilah yang menjulang semangat tidak gentar walaupun kepada sesiapa. Cuma yang Maha Esa yang ditakuti dan disembah. Keyakinan dan tawakal yang sangat tinggi

Saya ingin menarik perhatian semua, tidak akan rugi jika kita belajar silat ini. Disamping ilmu seni mempertahankan diri, silat mendidik kita bersilaturahim, menghormati guru dan orang tua, berdisiplin dan memantapkan kesihatan diri. Ayuh carilah silat yang sesuai untuk diri sendiri dan anak-anak kita, nescaya kamu tidak akan menyesal. Sediakan payung sebelum hujan. Hubungi kami jika berminat.

Matahari terbit di Palembang Si Guntang
Tanahnya subur ditaman padi
Keris dipegang dihunus dijulang
Kesatriaan Malayu timbul kembali

Saturday, October 18, 2008

Mengapa mesti datang lewat?

Penyakit selalu datang lewat ini sebenarnya boleh diubati. Kita pun tahu, bila ianya berkaitan dengan masa berbuka puasa, kita boleh bersungguh-sungguh menepati waktunya. Begitu juga dengan perkara-perkara yang melibatkan kerjaya kita. Boleh datang ikut masa, makan dan balik ikut masa dengan penuh ketaatan. Mungkin ada yang mendorong kita begitu.

Gabungan mesyuarat bersama wakil-wakil dari JIM Pusat, negeri dan daerah.

Begitu juga sepatutnya dengan kerja-kerja dahwah atau jamaah. Bagi yang telah faham, kerja-kerja jamaah adalah penting sama seperti dengan kerjaya kita. Jika kerjaya kita itu diawasi oleh majikan dan beliau akan memarahi atau bertindak sesuatu apabila kita melanggar peraturannya. Maka ketahuilah kerja-kerja jamaah di awasi oleh Allah SWT. Kita sepatutnya takut akan murka Allah SWT. Apatah lagi, kita patut takut jika Allah kenakan tindakanNya kepada kita kelak.

Saya sungguh terharu, masih ada dikalangan kita yang walaupun sibuk dengan mengajar di masjid dan surau tetapi sanggup hadir ke mesyuarat. Walaupun beliau lewat sedikit tetapi tidak pernah uzur untuk bersama dalam program atau aktiviti yang telah diputuskan. Ada juga yang terus dari pejabat dengan pakaian kerja kerana tidak sempat balik ke rumah untuk melihat anak isteri lantas terus ke program. Lambat ke cepat ke diserahkan kepada Allah.

Kadang-kadang jalan sesak kadang-kadang lancar. Ada yang mesti balik ke rumah mengurus makan minum atau keperluan lain anak dan keluarga dahulu. Namun yang penting dia masih datang. Bagi mereka yang sentiasa mampu datang awal alhamdulillah syukur, Allah mengizinkan begitu dan teruskanlah. Jangan buat apa-apa. Beri semangat agar yang lain boleh ikuti. Jangan menjadi seperti yang tidak datang terus atau tidak mahu datang dan tiada khabar berita.

Pegang jawatan bukan untuk seronok-seronok tetapi amanah orang. Takut-takut jadi orang munafik jika tak tunai amanah. Datang mesyuarat itu amanah. Tetap aktif dalam mesyuarat pun juga amanah. Jangan kita bila rasa tidak selesa oleh sebab sesuatu kepincangan, merajuk terus balik atau keluar dari mesyuarat, walaupun mesyuarat belum habis atau masih tidak bermula lagi. Ada dikalangan kita yang membaca buku semasa mesyuarat. Kononnya beliau ini tidak membuang masa. Bayangkan kalaulah kita yang menjadi pengerusi mesyuarat itu apakah perasaan kita?

Menjadi pimpinan bukan senang kena tangani orang yang tidak aktif, yang sederhana aktif malah yang terlebih akt. Ini juga memeningkan kepala. Kasihani mereka dengan kita memberi sokongan penuh, membantu dan seiring dengan mereka.