Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Saturday, December 25, 2010

Ubat kena makan ubat.


Ubat hai ubat aku cuba beriktiar dan Allah sahaja yang mengizinkan kesembuhan.

Hari Khamis baru-baru ini aku terpaksa pergi kerja walaupun rasa kuarang sihat dan suara pun kampir hilang. Aku perlu hadir untuk satu kelas elektronik untuk dua orang juruteknik baru. Balik kerja terus ke kelinik di Permatang Pauh.

“Yang encik Rusli ini demam, suhu badan agak tinggi”. Ujar Pn doctor. “Dr boleh bagi ubat untuk lutut kiri saya masih terasa sakit walaupun sudah dua minggu panjat Bukit Bendera, pil glucosamine” Pintaku. Aku baru dengar health talk pasal sakit lutut di kilang dan doctor syorkan untuk ambil pil ini. “Boleh tetapi saya kena periksa berapa limit encik Rusli”. Jawab Pn doktor.

Sekarang dua hari suara aku masih belum pulih lagi tetapi itu tidaklah membimbangkan Alhamdulillah suhu badan aku sudah kembali normal. Tetapi yang lebih terkesan hari ini kereta meragam kena RM1400 brek dan penghawa dingin rosak serentak. Eloklah tuu tuan dan kereta sakit sekali.

Makan buah-buah bagus untuk kesihatan apatah lagi bagi kami yang telah separuh abad ini.

Pernah aku teringat sebuah hadis Nabi yang lebih-kurang maksudnya, “Yang akan membahagiakan seseorang itu ada tiga, iaitu isteri yang solehah, rumah yang selesa dan kenderaan yang baik.”

Esok hari Ahad rasanya ku nak ke Mengkuang Dam. Jom IM bawa ibu-suri sama !

Monday, December 20, 2010

Air Mata Dhuha

Sejak di rakaat pertama lagi hati ini tiba-tiba sayu dan sebak. Terbayang dua insan yang aku sangat sayang. Kesunyian dan kesyahduan surau di tempat kerjaku ini telah menjadi destinasi singgahan harianaku sebelum ke kafeteria. Di sini aku mengambil peluang keemasan untuk mengadu kepada Allah SWT memohon kurniaan 'bekalan' agar dapat aku meneruskan perjalanan ini yang pasti tiada mampu akau tempohi tanpa pertolonganNya. Solat sunat Dhuha cuba aku budayakan. Hendak bangun di akhir sepertiga malam tidaklah aku mampu sangat.

Setelah aku menghatar sms kepada IM "Jom Dhuha", aku melangkah masuk ke surau. 'Bulan Disember' aku merenung ke arah kalendar di papan kenyataan. Bercuti bersama mereka camping sana-sini dan program outdoor anjuran JIM dan IKRAM menjadi agenda yang mesti. Di bulan ini sebelumnya aku akan banyak berinterasi dengan 'Soleh' anakanda bungsuku dan 'Nana' anak angkat asuhan kami. 'On'kan kedua kipas dinding surau aku terus mengambil wudhu. Belum sempat rakaat kedua air mata tiba-tiba mula mengalir keluar dan ianya bertambah deras pada sujud terakhir. Begitu kerdilnya aku berhadapan dengan ketentuan Illahi Rabbi. Bagaimana Nabi Allah Ibrahim mampu menyembelih anak kesayangnya Nabi Ismail?


Nana seorang budak perempuan berumur tiga tahun menjadi mangsa penceraian, terpaksa aku lepaskannya setelah enam tahun membesarnya di depan mataku ini. Ibu kandungnya telah mengunakan perundangan untuk mendapatkannya kembali. Aku sememangnya boleh terima hukum dan undang-ungdang. Tetapi hati ini tetap tersentuh sebagai seorang insan yang punyai perasaan. Aku sangat terkilan kerana cara mereka mengambilnya kembali laksana barangan yang tidak punyai harga. Telah aku nyatakan berkali-kali Nana bukan barangan, dia manusia yang punyai perasaan dan emosi.



Pada malam itu mereka datang dengan kereta peronda polis dan beberapa kereta untuk nekad mengambil Nana. Aku ketika itu 'night duty' bergegas balik ke rumah. Nana meraung-raung dan meronta-ronta tiada mahu mengikuti ibu kandungnya. Aku mengambil wudhu dan menghimbus air dari mulutku ke anggota Nana. Berjanji akan mengambilnya kembali. Dalam tangisan yang mendayu-dayu dan teresak-esak, mendukongnya untuk terus aku masukan ke dalam kereta mereka. Aku suruh mereka segera pergi sebelum apa-apa yang tidak ingini berlaku lagi. Perasaan hiba ini terasa sangat kerana sehingga saat ini kerana aku tidak mampu memperolehkan Nana kembali.


Tidak cukup dengan aku kehilangan Nana sebulan dua, kini aku kehilangan Soleh. Aku telah bertekad untuk menghantarnya ke pengajian tahfiz atau pondok demi masa depannya. Ini telah aku bincangkan secara serius dengan sahabat-sahabat dalam usrahku dan jiran-jiran terdekat. Setelah 44 hari menjalani 'suluk' atau kaedah penbersihan dan penyucian, aku cuma dibenarkan sebulan sekali menziarahi Soleh. Pada pertemuan ziarah pertama Soleh memarahi kami kerana tega menghantar dia ke situ. Dia menangis minta untuk pulang ke rumah. Tetapi setelah dua bulan lebih dia telah mulai faham kenapa kami menghantar dia ke sana. Kini dia telah banyak berupa. Setelah katam 30 juzuk Soleh mula menghafaz mukadam. "Abah adik telah hafal 7 ayat dari Amma yatasaalu ." Aku teramat ....

Muhammad Sobri Bin Rusli @ Soleh buah hati kami.

Aku yakin tindakan ini tepat tetapi hati ini sentiasa hiba melihat rakan-rakan Nana dan Soleh mundar-mandir di hadapan rumah dan di hadapan mataku. Ya Allah permudahkan akan kerja buatku ini. Ameen

Thursday, December 16, 2010

Jadi Cikgulah Aku.

Hari Jumaat kami berpakaian bebas tapi kemas. Aku apa lagi suka pakai kemeja-T IKRAM.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa lama menyepi JH ini. Maaf sahaja kerana aku ini telah ditugaskan sebagai 'cikgu' di tempat kerja. setelah 30 tahun bergelumang dengan mesin-mesin kini menjadi salah seorang tenaga pengajar di bahagian 'LADA' - Learning and Developement Academy di bawah Technician Training Centre. Melatih juruteknik baru dan lama supaya mampu menyusuaikan diri dalam kerjaya mereka. Disamping itu juga menyampaikan beberapa bengkel penerangan dan kemahiran untuk meningkatkan prestasi mereka.

Maka sudah tentu hampir semua masaku terpaksa dialihkan untuk persiapan-persiapan yang tidak ada kesudahan. Mengajar insyaAllah telah menjadi sedikit kebiasaanku kerana ramai yang telah ketahui aku ini juga merupakan guru silat. 'Cikgu Rusli' menjadi panggilan mesra rakan dan sahabat walaupun ramai di kalangan mereka bukan menjadi anak muridku.
Ini pejabat aku memang selesa dan di sebelah itu Mr Suppayah rakan dan seorang lagi tenaga pengajar kami.

Aku sungguh bersyukur dengan menjadi seorang tenaga pengajar di Renesas ini, aku berpeluang berinteraksi dengan kesemua juruteknik baru. Maka sedikit sebanyak sentiasa bertambah kenalan baru dan insyaAllah dapat sedikit sebanyak memberi beri input yang baik seperti mengingatkan masa dan tempat solat dan sebagainya. Semoga Allah SWT permudahkan dan berkati sentiasa segala kerja buatku ini.

Friday, November 26, 2010

Masihkah kita menyumbang untuk Palestin?


Mengapa kita suka mengambil tetapi tidak mahu memberi? Mengapa tangan ini asyik mahu berada di bawah sedangkan yang di atas itu lebih baik? Mungkin ini yang sering ditanya oleh segelintir di antara kita, ‘budaya masyarakat subsidi’ ini hanya menunggu bantuan sahaja tanpa banyak berusaha.

Teringat semasa mendengar ceramah Palestin di sebuah masjid. Ada seorang tua seperti seorang yang berpengaruh bertanya kepada penceramah, “Mengapa negara-negara Arab yang lain tidak bersatu membantu perjuangan Palestin ini. Sedangkan mereka negara yang kaya-raya, kita Malaysia ini tidaklah seberapa”.

Beliau bertanya lagi, “Bagaimana ini, kita bagi duit untuk bina bangunan seperti makmal sains sekolah, pihak Regim Zionis senang-senang bom dan habis rata. Tidakkah itu sia-sia namanya”. Pening juga penceramah itu menjawab.

Persoalan di sini bukan sekadar habis sumbangan kita yang hendak dibanding-bandingkan tetapi semangat sebagai seorang Muslim kepada Muslim yang lain yang memerlukan. Allah SWT tidak melihat hasil perjuangan kita tetapi melihat usaha-usaha yang telah kita lakukan.

Tidakkah ada perasaan malu dan segan bilamana wang dan ringgit kita banyak terbazir dengan perbelanjaan mewah yang melampau-lampau. Sedangkan hendak menyumbang seringgit untuk Palestin pun kita sudah berkira-kira

Saturday, November 13, 2010

Mulut ditutup duit dihulur

Bantuan ini mungkin tidak sebanyak mana tetapi hubungan silaturrahim tetap tersemat di hati. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Banjir merupakan suatu agenda alam semulajadi. Banjir berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya dan alirannya tiada selari dengan yang kebiasaan. Pusingan alam ini perlu diseimbangkan, maka air ini tidak mampu dialirkan ke sungai ataupun diserap oleh bumi. Agenda alam ini menduga kemampuan insan yang bergelar khalifah, bagaimana menangani segala permasalahan yang timbul. Tolong-menolong dan saling bantu-membantu sebaik mungkin merupakan suatu tindakan wajar kepada yang berwajib mahupun persatuan-persatuan yang prihatin

Jangan dipertikaikan siapa turun padang atau siapa sampai dahulu dan berapa jumlah wang ringgit disampaikan. Kerja tidak setara mana tetapi gaknya terlalu hebat. Dia sahaja yang datang membantu orang lain tidak. Jangan juga dibanding-bandingkan siapa usaha lebih dan siapa yang hanya tunggu di rumah sahaja.

Usaha membantu, sumbangkan wang ringgit jika mampu dan iringi doa agar mudah segala usaha. Ambil iktibar ke atas ujian Allah ini, banyakan memohon keampunannya. Mulut kena tutup, minda, tenaga, masa, wang ringgit disumbangkan dan ganjaran daripada Allah semata-mata.

Friday, November 5, 2010

Iman, Doa dan Sahabat.


Risau juga dengan anak-anak kami ini dengan cabaran semasa yang hebat. Dapatkah mereka memelihara iman mereka?

Iman ibarat memakai baju, bila panas dibuka dan bila sejuk dipakai kembali. Itulah sifat insan yang keimanannya sentiasa turun naik. Ada kalanya terasa bersemangat membuat kerja-kerja dakwah ini. Sebutkan sahaja ke mana dan apa tugasan yang perlu pasti diri ini akan turut bersama. Tetapi ada juga masanya yang teramat malas untuk ke mana-mana, walaupun cuma mesyuarat kecil sahaja. Ada sahaja alasan yang dicari, anak demam, tiada siapa tengok rumah, baru balik kerja dan sebagainya.
Bertemu sahabat dan saling bertanya khabar adalah amalan yang sangat baik.

Maka hendaklah sentiasa secara sedar kita awasi keimanan ini. Carilah puncanya dan tingkatkan motivasi diri. Diantara usaha untuk memelihara iman ialah sentiasa berdoa. “Wahai Tuhan yang membolak-balik hati, tetapkan hati ini dengan AgamaMu”. Hati atau jiwa merupakan sesuatu yang halus dan mempengaruhi tindak-tanduk kehidupan ini. Doa hendaklah berterusan dan tidak kira masa dan tempat. Paling baik di sepertiga malam, pada waktu cuma diri ini dan Allah sahaja. Rahmat Allah amat luas. Pada ketika itu tiada siapa Cuma diri ini dengan Tuhannya. Mengadulah apa sahaja insyaAllah. Dia sentiasa mendengar. Tagihlah kasihNya.

Inilah sahabat yang menjadi cermin diri. Saling membantu pada bila-bila masa kerana tiada lain kekuatannya datang dari ikatan ukhuwah dalam jamaah.

Seterusnya mari rapat-rapatkan diri dengan orang-orang soleh. Carilah sahabat yang baik untuk didampingi. Susah-senang bersama dan sentiasa terasa tenang bila menatap wajahnya. Apatah lagi yang sama berjuang di dalam jamaah. Apatah lagi sesama ‘usrah’. Saling memperingati di antara satu sama lain di masa-masa yang perlu.

Maka jika sering berdoa dan sering berusaha melaksanakan tugas dakwah bersama-sama sahabat, maka akan terbentuk pula suasana yang baik lagi diberkati. Hari-hari yang mendatang sentiasa diisi dengan program-program yang berfaedah dan membina. Tentu bertambah indah hidup ini. Masih ada yang saying selain keluarga sendiri. Apa pendangan antum?

Thursday, October 28, 2010

GERIMIS SEMALAM


Tertulis satu ketika dahulu
Terbayang keindahan mu
Mungkinkah hidup selalu begitu
Dibuai bayu nyaman syahdu






Semenjak kecil sudah terkedu
Merasai bernaung awan kelabu
Sendirian walau punya ayah ibu
Menungkah pengalaman baru







Bila saat mula disatu
Sentiasa wangi tak perlu dihidu
Terawang tinggi langit biru
Maklumlah pengantin baru







Beranak pinak letih selalu
Membesar mereka cepat berlalu
Rezeki mereka rezeki aku
Kadang kaku kadang buntu



Kini laksana muda dahulu
Berduaan di hujung minggu
Bagai irama tanpa lagu
Terpaksa bergerak walaupun lesu






Pada mu temanku jangan jemu
Kita teruskan walaupun pilu
Jangan bersedih siapa pergi dulu
RahmatNya menanti setiap penjuru

Tuesday, October 19, 2010

Pemangkin kehidupan.

Apa nak jadi dengan anak-anak kita ini? Siapa yang akan membetulkan mereka ini? Ibu bapa, masyarakat, NGO atau pihak berwajib?

Ke manakah arah perjalananku ini? Setelah mendong yang menyelubungi langitku tempoh hari beransur berarak pergi. Ditiup bayu pagi. Tiupan bayu yang ku cari selama ini telah ku temui. Walaupun perlahan tetapi jadilah sebagai secebis pengharapan. Empat puluh empat hari dan empat puluh malam akan menjadi penentuan. Ianya adalah menjadi satu jangkamasa menguji fizikal dan spiritual. Jika kami berjaya akan terbuka satu era baru dalam penghidupan. Tetapi ianya bukan lagi penghujung malah ianya hanyalah akan menjadi satu permulaan. Doa kalian menyemarakan semangat dan kekuatanku ini. Terasa benar aku tidak keseorangan.

Setelah itu, dua puluh empat bulan menjadi satu taruhan. Ujian tahap kedua berkemungkinan agak ringan dan tidak berat tetapi jangkamasanya terasa amat lama. Seolah-olah ibarat memegang batu kecil dalam tangan yang diluruskan lama. Batu itu tidak akan berubah beratnya tetapi tangan ini akan bertambah lenguh walaupun dibiarkan . Jika dihitung ianya adalah selama tujuh ratus dua puluh hari pula. Namun mungkin ini pilihan yang terbaik. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Cuma kita yang belum atau tidak ketahui disebaliknya. Ini kerap diungkapkan oleh kita semua. Ungkapan yang mudah dipertuturkan tetapi hanya bahu-bahu yang terlibat tahu akan beratnya bebanan hidup ini. Jika umur si budak itu lima belas tahun maka dengan peralihan jangkamasa tujuh ratus dua puluh hari ini beliau akan membesar menjadi tujuh belas tahun. Umur seorang remaja yang bersekolah di tingkatan lima. Itu sukatan kita, tetapi lain sukatan Allah SWT. Mungkin esok atau lusa ada yang dijemputNya dahulu.
Anak-anak ini bukan sepanjang masa oleh kita kepek ke sana ke sini. Ada masanya harus dilepas pergi demi kebaikan mereka jua.

Itu perjalanan budak yang lima belas tahun. Bagaimana dengan aku yang hampir sangat mencecah lima puluh tahun umur ini? Di rumah bertambah sunyi. Seorang demi seorang anak-anak ini terpaksa dilepas pergi dengan harapan dan tugasan menyambung amanah hidup. Aku sendiri dahulu terpisah dengan keluargaku hampir tiga tahun berkelana di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak. Mengambil Kursus Jangkawas Perusahaan dan Kawalan. Tiada siapa yang menziarahi, betul aku bukan melawak. Cuma hari pertama iaitu hari pendaftaran aku dihantar oleh ayah dengan mosikalnya C70 dan bermalam di rumah saudara kami di Changkat Larang. Kedua, hari konvokesyenku, ayahku seorang sahaja datang dengan C70nya juga. Itu kesah lama tetapi tetap menjadi pertanyaan tanpa aku sedari sehingga kini.
Juga sekumtum doa dari orang-orang yang soleh diperlukan itu kemakmuran negara tercinta ini.

Air mata ini terasa bagai paip yang kebocuran. Ianya akan mudah tiris sewaktu makan malam dan sewaktu solat berjemaah dengan isterikudi waktu Maghrib dan juga Subuh. Apa ingatkan seorang guru silat itu tidak punya air mata. Namun hakikatnya guru silat itu juga seorang yang punyai perasaan yang halus. Semoga aku akan sibuk dengan tugas-tugas jamaah yang tidak seberapa ini.

Bukan untuk melupakan kenangan silam atau keadaan semasa tetapi untuk pemangkin untuk teruskan penghidupan ini.

Monday, October 18, 2010

'Senyuman Dalam Tangisan'

Ada yang masih memerlukan kehangatan pelukan kasih dari ibu dan ayah mengapa kita tidak mampu berikannya? Adakah suasana persekitaran atau sememangnya kesilapan ibu dan ayahnya?

Selagi mana ada nafas ini, selagi itu mesti terus berperanan. Mengapa tidak, kerana jika tidak diperbuat tentu akan terbengkalai tugas-tugas ini. Dahulu semasa aku memegang jawatan Setiausaha Negeri JIM Pulau Pinang terasa amat sibuk sekali jika tiba mesyuarat agong tahunan MPN, singkatan Mesyuarat Perwakilan Negeri. Tentu orang bercakap, "Biasalah sebagai SU, memang kerja dia, kerja kita datang mesyuarat ini pun kira amat baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak datang". Tetapi selepas mesyuarat tersebut biasanya akan lagi sibuk kerana perlu menyediakan laporan pula dalam jangkamasa tertentu. Jadi tidak habis-habis dengan kesibukan. Tetapi sekarang bila sudah dilantik menjadi Yang Dipertua mengapa masih sibuk juga?

Tetapi ramai yang tidak ketahui kekadang nafas ini tersemput-semput dengan kerana beberapa ujian yang Allah SWT kurniakan serentak. Namun kerja-kerja mesti diteruskan lagi walaupun 'senyuman dalam tangisan'. Mungkin ada yang mengerti dan mungkin ramai yang tidak. Di sinilah letaknya erti persahabatan. Bagi yang perhatian mereka akan bertanya dan akan cuba membantu sedaya upaya. Bukan sekadar menasihati sahaja tetapi lebih dari itu. Melihat raup wajah sudah mampu membaca penderitaan sahabatnya itu. Ada juga yang berpendapat, "Jika dia tidak mahu cerita buat apa kita tanya". Kadang-kadang betul juga tetapi kadang-kadang mungkin dia tidak mampu hendak mulakan ceritanya itu. Terpulanglah siapa yang mahu mula dahulu, tetapi aku rasakan siapa yang mula bertanya atau menunggu untuk ditanya tentu ada alasan-alasan mereka masing-masing.
Lain pula halnya di Palestina sana. Mereka perlukan lebih dari pelukan ayah ibu. Kehidupan mesti mereka teruskan walaupun tanpa orang-orang tersayang.

Betul kata-kata beberapa orang sahabat rapat, bahawa jika ada ujian kita akan selalu ingatkan Allah dan biasanya pula bila senang manusia ini sering lupa Allah. Tidak ! Aku tidak mahu menjadi manusia sebegini, aku mahu menjadi manusia yang ingatkan Allah semasa susah dan senang. Ujian Allah akan datang dan pergi cuma mereka yang dikurniakan hidayah akan menerima butiran mutiara iman yang jika terkumpul akan memberi cahaya kehidupan.

Pernah suatu ketika aku berkata, jika aku boleh berlari aku akan berlari. Jika aku mampu berjalan aku akan berjalan dan jika aku cuma ada satu sahaja kaki ini aku akan terus berjalan mengikut kadarnya. Walaupun perlu bertongkat dan kadar kelajuannya amat perlahan. Jangan selalu ketawa kerana sesekali menangis itu akan menyucikan hati dan jiwa ini. Jangan pula selalu menangis kerana ianya akan membutakan mata kamu, itu kata-kata Kassim Selamat dalam Ibu MertuaKu.

Senyumannya tidak manis mungkin terbentuk dari nalurinya yang berbagai emosi. Namun kehidupan ini mesti diharungi dengan semua kekuatan yang bersisa. Sahabat-sahabatlah yang menjadi pemangkin untuk terus dalam landasan ini.

Fahamilah wahai sahabat, disamping aku perlu tapak tanganmu dicantumkan mengangkat doa untuk kita aku juga perlukan lengan-tangan-tangan kalian untuk memeluk ku semasa aku sangat memerlukannya.

Thursday, October 14, 2010

Menangani Keutamaan

'Robotic arm' ini mengikut sahaja segala yang telah diprogramkan oleh penciptanya tanpa bantahan. Mengapakah kita ini membantah apa yang Allah suruh ?

Dakwah memang tugas semua dan wajib diberikan tumpuan khusus untuk memakmurkan dunia ini. Dalam kehangatan memikul tanggung-jawab dakwah ini’ persiapan untuk yang di rumah jangan sekali diabaikan. Masih punya anak, masih punya isteri atau suami dan masih punya orang tua yang perlu perhatian dan sentuhan.

Ini belum termasuk dengan jiran tetangga dan sahabat rakan taulan. Ini belum termasuk amanah kerjaya yang diberi upah dan gaji untuk melaksanakan beberapa tugasan harian. Jadi sesungguhnya kerja-kerja ini terlalu banyak dan berpanjangan. Tetapi jangan pula dengan alasan ini, satu apa pun tidak dibuat.

Rancanglah mengikut keutamaan dan suasana yang mendesak dahulu. Asuh diri ini agar boleh membuat jadual harian. Jadual ini tidaklah jumud sehingga tidak boleh diubah suai. Sekurang-kurannya telah tercatit perkara-perkara yang perlu perhatian dan tindakan.

Contohnya diantara menziarahi kematian dengan kelahiran bayi tentu patut dihadiri majlis kematian dahulu dan menangguhkan menziarahi kelahiran seorang bayi. Tetapi bagaimana pula jika ditambah satu lagi, undangan ke majlis perkahwinan. Di antara 3 ini mana yang perlu didahulukan? Begitulah seterusnya, bijak memilih dan bijaklah membuat keputusan agar dapat diatur urus dengan sebaik mungkin. Kekadang ingin pergi ke tiga-tiga majlis tadi, tetapi ianya juga tidak mustahil dilaksanakan.

Diantara menghadiri majlis usrah mingguan dan menemani isteri atau anak yang sedang demam di rumah, mana yang patut dipilih?

Wednesday, September 22, 2010

Puasa sunat 6 Syawal

Kadang-kadang sukar mahu mulakan puasa 6 ini kerana banyak jemputan rumah terbuka.

Alhamdulillah, baru selesai melaksanakan puasa sunat 6 Syawal walaupun sudah 13 Syawal hari ini. Mungkin ramai di antara pembaca dan blogger lain telah melaksanakannya lebih awal lagi. Rasa bersyukur esok nanti 'Raya Puasa Enam'lah aku. Itu selalu diucapkan oleh mereka yang baru sudah melaksanakannya. Walaupun tiada dalam kitab. Tetapi perasaan dan naluri kita begitu seronok, lega dan bukan dibuat-buat. Mungkin bagi ahli ibadah mengistilahkannya sebagai 'kemanisan iman'.

Jika motosikal boleh dijadikan 'hobby' mengapa tidak amalan puasa enam ini.
Bagi yang masih belum sempat, janganlah ditangguh-tangguh cuma ada kurang lebih dua minggu lagi. Bagi pihak muslimat usah dipertikaikan hendak buat 'puasa ganti' atau puasa sunat ini. InsyaAllah, buatlah mana satu pun boleh, Jika mampu buat dua-dua lagi baik.

Sungguh malang jika cuti-cuti semasa hari perayaan ini dihabiskan dengan melepak di tempat-tempat yang belum tentu meningkatkan iman ini.

Bagi rakan-rakan belum Islam di tempat kerja aku, ada yang sudah dapat mengagakkan masih ada rakan-rakan Muslim mereka yang puasa extra kata mereka. Bila dilihat masih ada yang tidak turun makan di cafeteria. Bagi mereka puasa extra ini untuk orang yang special.
Ziarah dan bantulah mereka yang memerlukan walaupun merke itu belum Islam lagi.

Aku ingin menjadi orang yang special ini. Agar Allah SWT menerima puasa kita yang cuma 6 hari ini dan menganjarinya. Aku pohon agar dengan keikhlasan dapat dikurniakan kau dan aku menjadi Insan Bertaqwa.
InsyaAllah Amiin.

Thursday, September 16, 2010

Ramadan meninggalkan kita tetapi amalannya tidak.

Amalan menghadiri majlis ilmu dan beriktikaf di masjid mesti diteruskan supaya ianya menjadi amalan hidup. Begitulah amalan orang-orang soleh.

Bagi yang masih mahu mencari rahmat dan redha Allah SWT mari segerakan pula puasa sunat Syawal yang cuma 6 hari sahaja tetapi pahalanya seumpama puasa setahun. Ramai yang tahu tawaran ini tetapi masih bertangguh-tangguh. Rugilah jawabnya jika tertinggal. Kenapa kita ini sering berebut-rebut tawaran istimewa di gedong-gedong membeli-belah yang menawarkan harga-harga konon murah? Tapi bila bab ibadah kita agak lalai.

Bagi mereka masih merindui bulan Ramadan, ianya telah pergi dan meninggalkan kita. Bukan bulan yang akan beribadat tetapi kita ini sendiri. Biar ianya pergi mengikut perintah Allah. Allah ada berfirman, "Tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan beribadat kepada Ku. Segala amalan di bulan Ramadan masih boleh kita teruskan kecuali solat sunat tarawikh dan Lailatur Qadar. Mahu tidak kena tunggu tahun hadapan dan itu pun jika umur kita masih ada.
Ziarahi dan bersedekah kepada yang memerlukan adalah amalan yang mulia. Lakukannya samada secara individu mahupun secara berjamaah. Biasanya dengan berjamaah adalah lebih berkat insyaAllah.

Mari kita beri tumpuan pada waktu sekarang. Teruskan dengan puasa sunat Syawal, seterusnya puasa sunat Isnin dan Khamis. Mari kita teruskan dengan solat malam, baca Al Quran, bersedekah dan yang lain-lain yang kita laksanakan di bulan Ramadan, walaupun kita di bulan lain

Semoga walaupun Ramadan tidak bersama kita tetapi amalannya berterusan.

Sunday, September 5, 2010

Jangan Kita Lupa

Berilah sumbangan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini samada secara individu mahupun bersama jamaah.

Jangan kita lupa.
Malam ini malam yang ke dua puluh tujuh Ramadan.
Mungkin malam Lailatur Qadar.
Beribadahlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Doakanlah agar kita beroleh kejayaan dunia dan akhirat.

Jangan kita lupa
Fitrah sudah dikeluarkan ke belum.
Wajib di atas kita serta tanggungan termasuk ibu dan ayah.
Semoga kita di pagi Aidil Fitri dikembali seperti fitrah bersih suci murni.
Jangan kita lupa.
Ada lagi suatu malam yang istimewa jika kita beribadah.
Mungkin tidak sehebat Lailatur Qadar.
Tetapi ganjaran juga hebat kerana kerap kita sibuk hias rumah dan memasak.
Itulah di malam Aidil Fitri.

Jangan kita lupa.
Jiran tetangga di samping kaum keluarga.
Ziarah dan saling mendoakan.

Aku tidak lupa.
Ingin mengucapkan kepada kalian.
Selamat Aidil Fitri dan maaf zahir dan batin.
Semga dengan perkongsian di maya ini kita beroleh manfaatnya.

Thursday, September 2, 2010

10 Malam Terakhir Ramadan.

Banyakkan sumbangan dan sedekah di bulan yang mulia ini kerana ganjarannya sangat besar.

Alhamdulillah, syukur masih dapat bersama lagi. Musim ini merupakan pusingan akhir Ramadan, kita mengharapkan Allah SWT mengurniakan kebebasan dari Api NerakaNya.

Maka sudah tentu untuk mendapat kurnia ini kenalah kita terlebih dahulu berusaha memlakukan yang terbaik di dalam amal ibadat kita. Tidak boleh hanya kerjakan yang fardhu, mestilah ditambahkan dengan perkara-pakara sunat yang lain.

Carilah kesempatan agar bertemu dengan Lailatul Qadar. Kurbankanlah sedikit masa rehat agar peluang yang Allah SWT kurniakan ini dapat kita kecapi memanisan beribadat di malam yang lebih baik dari seribu bulan dengan penuh keikhlasan seorang hamba.

Kualiti mesti tinggi dengan keikhlasan untuk mendapat kasih-sayang Allah. Semua bersandarkan kepada keredhaan Allah semata-mata. Tiada niat yang selainNya. Semoga kita berjaya mendapat makam Taqwa di penghujung Ramadaan. Kita doakan di awal Syawal nanti kita kembali kepada fitrah menjadi insan yang suci dan murni.

Semoga Madrasah Ramadan ini dan segala amalannya akan dapat diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Sayu rasanya meninggalkan Ramadan ini namun itu kehendak Ilahi dan semoga diberi peluang bertemu Ramadan di tahun hadapan insyaAllah.

Thursday, August 26, 2010

Kekuatan dan jarak halatuju ku tidak sekufu lagi.


Nana, anak angkat adikku, keluargaku mengasuhnya sejak umurnya 3 tahun hingga 9 tahun. Tetapi kini ibu kandungnya telah mendapat perintah mahkamah dan mengambilnya kembali. Terlalu pilu hatiku ketika melepaskannya. Menangis meronta-ronta. Semoga Allah menlindunginya.

Kau terlalu mentah untuk mengetahui hakikat hidup ini. Sedari kecil lagi kau kami lindungi dengan jagaan yang baik. Segala kemahuanmu tiadalah yang tidak kami sempurnakan. Cuma cepat dengan lambatnya sahaja. Ke hulu dan ke hilir kau didukong, digendong kerana kita tidak punya bibik untuk ditinggalkan. Namun aku puas kerana kau membesar di hadapan mataku.

Hari-hari berlalu begitu pantas sekali. Kini kau merasa agak dewasa dan minta diberi kebebasan hidup. Ingin ke mana tidak perlu disoal. Minta maaf sajalah, kerana di dalam istilah hidupku mana ada kebebasan hidup. Jika bebas akan terbabas. Sedangkan jalan raya ada garisan dan ada pemisah jalan. Malah di lokasi bahaya ada penghadang, takut ada yang terlajak dan jatuh ke dalam gaung. Maut jawabnya.
Nah fakir-fikirkanlah sendiri, hidup berpegangkan agama, ada undang-undang dan ada peraturan dunia yang perlu dipatuhi. Di tempat kerja ada peraturan yang mesti diikuti maka di rumah pun ada peraturannya juga. Tidak boleh keluar dan masuk sesuka hati. Aku dan ibumu berkongsi dan bersusah payah membeli rumah ini dan bukan senang kami berusaha memperolehinya. Selepas ini gasaklah siapa yang akan mewarisi rumah ini kerana yang pasti aku dan ibumu akan ada rumah sendiri nun jauh di sudut taman ini. “Tanah Perkuburan Orang Islam” itulah nama taman yang akan kelian tempat kami berdua kelak. Siapa dulu dan siapa kemudian belum tentu. Itu ketentuan Ilahi.
Anak dan anak saudaraku di kampong semasa Aidil Fitri tahun sudah. Merekalah yang akan mewarisi keceriaan hidup ini insyaAllah.

Insaflah dikau, di bulan Ramadhan yang mulia ini banyakkanlah meminta ampun, kepada Tuhan sudah pasti, kepada kedua ibu-bapamu dan kepada semua insan yang pernah kau sakiti. Hidup tidaklah lama yang pasti di akhirat itu berkekalan. Tiada daya dan upaya aku untuk melarang kamu membuat sesuatu. Hendak dimarah sudah jemu dan jelak kau dengar. Hendak dipikul cuma belum patah dan buta aku kerjakan.

Seorang ibu akan melaksanakan apa saja untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Aku menginsafi diriku sendiri. Bulan Ramadhan Al Mubarak ini banyak ku cuba habiskan masa ini dengan bertawarikh di masjid. Cuma beberapa hari sahaja aku tidak ke sana kerana tugas dan semasa aku demam dan tidak upaya bergerak banyak.

Ramadhan tinggal beberapa hari lagi. Jangan kau sia-siakan dan lepaskan peluang ini. Istighfarlah dan balik ke pangkal jalan. Jangan kau ingat aku selalu akan bersama mu memimpin tanganmu di setiap persimpangan apabila kau perlu arah. Tidak, kerana aku pun belum tentu mampu sekarang. Kekuatan dan jarak halatuju ku tidak sekufu lagi. Aku tidak sekuat dahulu sedangkan tugas-tugas ini rasanya banyak yang belum beres.

Ya Allah di bulan yang barakah ini aku pohonkan selamatkanlah aku, isteriku, anak-anakku, keluarga dan sahabat-sahabatku dari api Neraka.

Ya Allah ampunlah aku. Aku telah mencuba Kau yang memperkenankannya.

Wednesday, August 18, 2010

Memasuki Pusingan Kedua Ramadhan.

Sdr Harryzan dan Ustazah Saliza bersama sebahagian dari anak-anak mereka di majlis iftar.

Sudah lebih dua minggu kita berpuasa semoga di awal Ramadhan ini kita telah Allah SWT kurniakan keberkatan insyaAllah. Sekarang mudahan-mudahan dalam pusingan kedua pusingan pertengahan banyakkanlah istighfar semoga Allah angkatkankan kedukaan, dilenyapkan segala masalah kita dan diberi lebihan rezeki dari jalan yang kita tidak sangka-sangka.

Jika kita dipanjangkan umur dan berkesempatan memasuki pusingan akhir Ramadhan semoga kita sempat beribadah dengan bersungguh-sungguh di malam ‘Lailatul Qadar’. Semoga kita dijanjikan dan dilindungi dengan kebebasan dari Api Nereka Allah.

Jangan asyik dengan rutin harian sahaja cuba sedaya-upaya untuk memperuntukan masa dan ruang untuk melebihi melaksanakan ibadah. Itu harapan kita untuk menjadikan diri ini sebahagian dari ahli ibadah.

Semoga di akhirnya kita memperolehi ‘Makam Orang-orang Bertaqwa’.

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Al Mubarak.


Berbuka puasa secara beramai-ramai besar keberkatannya.

Begitu cepat masa berlalu, alhamdulillah kita diberi peluang bertemu semula dengan bulan Ramadhan bulan keberkatan. Bagi ahli ibadah bulan ini merupakan pesta untuk meraih berbagai ganjaran pahala dan kebaikan. Setiap ibadah sunat ganjaran seperti ibadah wajib dan manakala setiap ibadah wajib diganjari dengan berlipat ganda. Inilah suatu yang sangat rugi jika kita abaikan.

Pertama, jangan sesekali kita lepaskan peluang bersolat sunat tarawikh kerana ianya tiada pada sebelas bulan yang lain. Jika tidak mampu ke surau atau masjid buatlah di rumah. Lapan atau dua puluh rakaat janganlah dipertikaikan, kerjakanlah mengikut kefahaman dan kemampuan masing-masing. Bertanya kepada yang lebih arif jika kita masih ragu-ragu mengenainya.

Kedua, cuba sedaya upaya untuk bersahur kerana di situ ada keberkatan dan ini juga merupakan ibadah yang diberikan pahala. Jika terlalu mengantuk minum segelas air atau sebiji buah kurma. 'Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur menyebabkan berkah.' Hadis riwayat : Mutafaq'alaih.
Solat berjamaah cuba dilaksanakan pada setiap waktu.

Ketiga, mari kita banyakkan membaca, menghayati Al Quran, bersedekah dan melalukan amal-amal kebaikan. Mulakan dengan membantu keluarga terdekat kemudian jiran tetangga, masyarakat setempat dan seterusnya masyarakat antarabangsa. Di sekeliling kita berbagai borang-borang sumbangan yang boleh kita manfaatkan.

Sumbangan kepada yang memerlukan menceriakan lagi suasana di bulan berkat ini.

Keempat, carilah dan beribadahlah pada Lailatur Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan kerana ganjarannya merupai seribu bulan. Seribu bulan hitungannya lebih 83 tahun. Mungkin kita tidak mampu beribadah selama hitungan ini. Begitulah seterusnya, banyak ibadah-ibadah yang boleh dikerjakan di bulan Ramadhan ini. Ramadahan diawalnya keberkatan, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya kebebasan dari api neraka.

Ampun dan maaf jika ada kekurangan dan kesalahan selama kita bersama. Semoga kita dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan untuk melaksanakan ibadah-ibadah ini. Ramadhan Al Mubarak.

Thursday, July 22, 2010

Dirihatkan sebelum waktunya.



Terlalu ramai yang perlu perhatian tetapi tidak ramai yang mampu memberi perhatian.

Suatu pagi apabila bangun dari tidur terasa sakit yang amat sangat di kawasan kiri pinggang hingga ke kaki. Sakit sebegini pernah kadang-kadang berlaku maka aku kurang mengambil perhatian kerana nanti ianya akan pulih sendiri kebiasaannya. Tetapi pandangan aku meleset sesampai di tempat kerja aku amat sukar berjalan, setiap langkah aku megerang kesakitan sehingga aku terpaksa memegang bahu seorang sahabat untuk masuk ke pejabat. Hampir setiap orang yang aku temui bertanyakan sesuatu, "What's happened to you?". Jenuh juga menjawab satu persatu. Ada yang berseloroh, 'There's why too much silat.' Ada di kalangan mereka yang sudah tahu aktiviti silatku.

Pagi itu aku cuba membuat kerja yang sepatutnya aku bereskan 'set up a new package for auto vision inspection machine'. Persiapan satu produk baru untuk diperiksa dengan satu mesin. Memang sebagai seorang jurutera mesin kerja-kerja aku kadang-kala sangat rumit dan mencabar. Sakit pinggang aku masih terasa dan beberapa teman sekerja menasihatiku supaya berjumpa doktor dan ambil 'MC' untuk berihat di rumah. Aku akur dan raikan nasihat mereka.

Setelah MC aku perolehi aku terus pulang ke rumah. Ini cuma amaran mula, fikirku di dalam hati. Risau juga. Takut jika Allah SWT uji lebih dari itu. Ayahku pernah di serang 'angin ahmar' akibat tekanan darah tinggi, terlantar selama dua tahun setengah dan akhirnya kembali ke 'rahmatullah' Abang aku pada 2 bulan sudah juga dikatakan tidak dapat bercakap dan mengerakan sebahagian badannya akibat kandungan gula dalam darah terlalu rendah. Masuk wad tiga hari. Aku harap aku dapat memperbaiki tahap kesihatanku ini. Setiap aktiviti yang dijalankan mempunyai objektif yang harus dicapaikan bukan sekadar untuk berihat atau bersantai.

Kita ini kadang-kadang merasa mahu sahaja berihat dan tidak mahu mengambil pusing. Tapi perlu diingatkan takut kalau-kalau Allah SWT rihatkan kita sebelum waktu rihat yang sebenarnya. DitimpakanNya penyakit atau sesuatu ujian itu sehingga hanya terlantar di atas katil sahaja. Sehingga meniti hari kematian sahaja. Ini diistihahkan sebagai "rihat sebelum waktunya". Rihat yang sebenarnya ialah di alam barzakh (kubur) itu pun jika amal kita baik. Jika amalan kita sebaliknya ianya merupakan tempat siksaan yang menggerunkan.

Mahu tidak mahu sebagai seorang daie (pendakwah) tiada istilah rihat. Banyak kerja, sedikit ruang masa dan tenaga semakin berkurangan membuat kita tidak boleh berihat lagi.

Ya Allah jadikan akhir hayat aku agar tidak menyusahkan orang lain. Ameen

Thursday, July 15, 2010

Mari kembali.

Sayu juga hati ini memikirkan dugaan yang kau lalui wahai sahabatku.
Pasrah meniti kisah silam
Kekadang cerah kekadang kelam
Bersama mu berusrah bermukhaiyam
Terasa gundah igauan mu semalam

Kan aku terusan cuba istiqamah
Walaupun kau memilih mahu duduk di rumah
Doaku pada mu kembalilah kepada jamaah
Segera bertindak agar jihad mu tidak lemah

Sepatutnya kau berada di celah barisan kami di atas ini sedari dahulu lagi.

Maaf aku hanya mampu mendengar

Sesekali cuba nasihat agar kau sedar
Tangan kau sahaja yang mampu menukar
Gaya hidup mu supaya tidak lagi sukar

Masih terasa keseorangan walaupun ada ramai kawan di sekeliling ku ini.

Tidak terlambat aku katakan
Kembali kita ke pangkal jalan
Jenama jamaah pilihan bukan
Berdakwa beramal buatkan bekalan