Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, November 24, 2011

Tahun 2043 Giliran Aku Naik Haji

Salam alaik para sahabat sekelian dan barakallah. Maaf banyak-banyak lama tidak mengisi ruangan ini. Berbagai alasan jika hendak diberi tetapi bukan itu tujuan kita ini. Cuma hendak berkongsi keriangan iaitu panggal 22 November 2011 hari Selasa baru-baru ini aku diizinkan Allah SWT mendaftar untuk mengerjakan HAJI. Aku, Kak Ida, adikku Seliha dan Zarinah dijadualkan giliran kami ini pada tahun 2043. Allahu Akbar mampukah aku bertahan sehingga umur 83 tahun itu.


Kami diberi nasihat agar cuba merayu kepada Tabung Haji untuk mencari ruang kemungkinan boleh dipercepatkan giliran itu. Tolonglah sahabat-sahabat tolong doakan agar kami boleh pergi dalam jangkamasa terdekat dan sihat tubuh badan pada ketika itu.


Aku ceritakan kepada sahabat-sahabat rapat di rumah dan di pejabat yang aku sudah mendaftar HAJI dan mereka turut bergembira. Diantara dialog yang menarik hati aku ialah; "Takpalah juga Li 30 tahun hang sudah mendaftar yang kita ini Jo belum lagi." Itulah sahabat baik aku blogger insan marheam menerpa Johry sahabat sepejabat aku.


Semoga aku, mereka dan kita akan ke Tanah Suci walaupun awal mahupun kemudian.

Thursday, November 3, 2011

Lima Puluh Tahun Usiaku

Di Bilik Istana rakan-rakan sekerjaku meraikanku dengan jamuan pagi.


Walaupun aku pernah menjadi seorang ko-kauselor malah pengarah Unit Khidmat Nasihat Islah tetapi ada ketikanya aku juga merasa teramat gelisah apabila didatangi dengan beberapa permasalahan sekali gus. Kereta Syuhadah cukai jalannya mati 2 November 2011 ini, kereta UNSER aku dua kali bermasalah dengan petanda isyarat bateri menyala, enjen tidak boleb ‘start’ dan ‘belting’ berbunyi. Oh! tentu banyak wang-ringgit yang akan keluar. Ini tidak termasuk fikiran aku berlegar-legar macamana hendak balik ke kampong pada hujung minggu ini. Sobri di ‘pondoknya’ yang serba kekurangan. Nana anak asuhanku entah macamana dan lain-lain lagi.

Alhamdulillah hari ini genap usiaku 50 tahun mengikut kelendar masihi. Kemarin cuti buat cukai jalan cuma kena RM12 sahaja untuk setengah tahun dan insuran tidak perlu dihidupkan. Hari ini perbaiki kereta UNSER cuma kena RM30 sahaja, ingatkan beratus-ratus ringgit. Di tempat kerja mereka meraikan Hari Jadiku di dewan khas “istana” tempat jamuan VVIP. Hari Sabtu nanti telah mendapat izin untuk ziarah Sobri setelah lebih 2 bulan tidak bertemunya.

Aku kerap dilantik sebagai Kem Komanden di dalam perkhemahan/mukhayam anjuran JIM dan IKRAM.


Aku masih perlu banyak dan selalu bersyukur kerana punyai keluarga dan sahabat-sahabat yang banyak memberi keceriaan dalam penghidupan ini. Semakin berumur aku ini semakin sensitive emosi dan perasaan ini. Tentu sekali yang kerap menjadi mangsanya ialah isteriku, tempat aku mencurah kasih dan permasalahan juga. Alhamdulillah.

Semoga kalian dan aku sentiasa di dalam Pelukan Rahmah Allah SWT amin.

Tuesday, October 18, 2011

Aku mesti terus menulis.



Aku memohon maaf kerana lama tidak menulis di dalam blog ini. Namun aku ini masih ada semangat untuk berkongsi cerita, pengalaman untuk faedah bersama. Wadah penulisan ini aku jadikan saksi di hadapan Allah SWT agar dapat aku menjawab persoalan kedua-dua malaikat ‘penjaga kubur’, Mungkar dan Nangkir.




"Wahai Rusli Bin Ummi Selamah siapakah saudara kamu?" Aku akan menjawab, "Muslimin dan muslimat adalah saudaraku." Malaikat bertanya lagi, "Apa bukti kamu wahai Rusli Bin Ummi Selamah?" Aku akan menjawab, "Aku sentiasa beristiqamah dengan tulisanku blog aku untuk pengkongsian mereka."


Alangkah beruntungnya jika aku boleh menjawab sebegini. Maka saranan aku untuk semua yang kurang mampu mengekalkan ‘posting’ blog mereka maka fikir-fikirkan.


Al ‘Alaq ayat 1-5 - Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.


InsyaAllah peranan yang kerdil tetapi berterusan walaupun sedikit akan dapat dikongsi ramai. Semoga merupaka alam soleh kita.

Sunday, September 4, 2011

ILMU AMAL DAN AMAL

ILMU AMAL DAN AMAL

Ilmu …
Di dalam arena medan perjuangan,.

Penuh onak, renau dan duri.

Duri-duri jalanan yang bisa lagi berpanjangan.

Hanya Almu, kefahaman dan ketabahan hati.

Menjadi pedoman pendiding diri.

Tanpa Ilmu Marusia buta.

Buta dalam pertimbangan dan penilaian.

Pertimbangan yang haq dengan bathil.

Penilaian Islamiah dengan Jahiliah.

Dua ciri yang bertentangan dan berlawanan.

Yang tidak mungkin berkompromi sekata.

Yang tidak akan sehaluan dalam perlayaran.

Yang pasti akan bertembung di medan perjuangan.


Iman …

Lafaznya di lidah.

Tasdiqnya di hati sanubari.

Melaksananya dengan perbuatan.

Suatu perisai yang amat kukuh.

Mempertahankan, membela dan menentang.

Mempertahankan yang haq.

Membela yang lemah

Menentang kefitnahan dan kekufuran.

Agar muka bumi ini bebas dan merdeka.

Merdeka dala marti kata yang sebenarnya.

Tiada Ilah melainkan Allah.

Nabi Muhammad utusan Allah.



Amal …

Suatu yang diredhai.

Niat perlaksanaannya jelas suci murni.

Walaupun sedikit tetap berterusan.

Bukan sekadar solat, puasa, zakat dan haji


Tetapi …

Membentuk memperbaiki diri.

Membina, mentarbiah baitul muslimin.

Membimbing masyarakat, watan, negara dan kesatuannya.

Hinggalah ke puncak alamiah.

Itulah tujuan dan itulah matlamat.

Nahnu duat la khudat

Kami pendakwah bukan penghukum.


Nukilan : A.MOSAINI PG

Friday, August 26, 2011

Ramadhan Yang Hampir berlalu?

Banyak yang perlu dikejar dan banyak yang perlu diperbuat. Ibadah rasanya belum puas dikerjakan manakala persiapan menyambut Hari Raya tidak pernah mencukupi di hati. Rugi jiks saban malam ke kompleks membeli-belah sahaja tanpa kita menambah solat malam kita.

Namun Ramadhan akan tetap berlalu tidak kira samada kita sempat atau tidak mengambil manfaat besar yang terkandung di dalamnya. Selepas ini tiada tawaran ganjaran yang sehebat Ramadhan. Tiada palaha wajib untuk ibadah sunat. Tiada lagi satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Tiada lagi solat sunat Tarawikh. Tiada lagi pahala sekedah yang besar gandaannya. Cuma yang tinggal diri ini yang amat terlepas segala peluang yang Allah SWT sediakan untuk hambaNya.

Semoga keinsafan sentiasa dirasai untuk memperbaiki diri.

Tahun depan masih ada Ramadhan? Jawapan belum tentu Allah izinkan kerana Ramadhan milikNya. NYAWA kita juga milikNya.

Friday, August 12, 2011

Tazkirah untuk Renungan Bersama.

Salam alaik. Alhamdulillah, saudara-saudara yang dirahmati Allah SWT. Telah berlalu satu pertiga Ramadhan dan begitu pantas masa ianya berlalu. Allah SWT telah janjikan RahmatNya bagi mereka yang beruntung mengerjakan ibadah dan tekun dan ikhlas. Mungkin ramai yang telah membaca Al Quran, mungkin ramai yang telah bersolat Tarawikh berterusan samada di surau dan masjid atau di rumah dan mungkin ramai yang bersedekah kepada mereka yang memerlukan, teruskanlah.

Bagi kita yang masih perlahan dalam mengerjakan ibadah, mari kita pertingkatkannya kerana pada sesi kedua sepuluh Ramadhan ini Allah SWT menjanjikan pula KeampunanNya. Kita banyak membuat dosa di masa silam maka mari kita rebut peluang ini. Allah Maha Pengasih dan Penyayang dan sentiasa menunggu hamba-hamba memohon keampunanNya.

Seterusnya jangan kita terlepas memacu diri ini dengan sepuluh Ramadhan yang ketiga kerana Allah SWT menjanjikan kebebasan dari Api NerakaNya. Kemudian di celah-celah malamnya diberi peluang BESAR untuk beribadah di Malam Al Qadr. Malam itu satu malam yang terpilih dan adalah lebih baik dari seribu bulan. Rebutlah peluang besar kerana mungkin kita akan bertanya umat dahulu panjang umurnya tetapi umat Nabi Muhammad saw kenapa pendek umurnya. Maka inilah BONUS BESAR yang Allah SWT sediakan bagi mereka yang berkehendak.

Seperti saban tahun ramai yang mengunjungi surau atau masjid di bulan puasa untuk berihat dan beribadah masyaAllah ini satu petanda yang sangat baik. Tetapi alangkah lebih baik kita teruskan budaya ini pada bulan-bulan yang lain. Biar surau dan masjid kita ini penuh sesak dengan jamaah yang sentiasa ingin beribadah. Jadikan Ramadhan sebagai titik-tolak untuk kita terus mengerjakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat. Umur kita semakin lanjut tetapi ibadah kita berkurangan, mampukah kita menghadapi siksaan kubur kelak.

Semoga dengan kehadiran Ramadhan yang tidak beberapa hari akan berakhir ini kita ambil kesempatan memperbaharui azam untuk untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik. Semoga tulisan ini dapat mendamaikan hati kita di bulan yang penuh berkat ini.

Monday, August 1, 2011

Seceria Lampu Kelip-kelap.



1 Ramadhan menjelang lagi, petangnya aku cuba ceriakan diri dan rumah kami dengan memasang lampu kelip-kelap di hadapan rumah. Ingin aku nyalakan ia malam itu juga. Namun petang itu aku hanya sempat mengantungkannya sahaja. Belum boleh dinyalakan kerana perlu ada wayar dan plug yang ketinggalan. Selepas solat Maghrib berjemaah bersama Along di rumah aku terus ke kedai mencari barang-barang yang perlu. Bergegas kerana malam ini tak mahu ketinggalan solat Tarawikh di masjid. Aku singgah tiga kedai baru dapat membelinya. Mengapa aku megelabah?

Malam itu sempat sampai di masjid sebelum azan Isyak bersama Along. Jemaah ramai dan tiada ruang kosong, kalau tiap-tiap kali sebegini alangkah hebatnya. Alhamdulillah dapat juga aku solat di masjid pada 1 Ramadhan 1432. Tetapi mengapa hati aku masih megelabah?

Balik kami makan masakan yang Ida masak dan aku terus menyambung memasang lampu kelip-kelap aku tadi. Along keluar berjumpa kawan-kwannya di Perda. Setelah naik-turun tangga beberapa kali barulah lampu keli-kelap aku sempurna, menyala sungguh indah. Aku panggil Ida untuk diberi komen. Katanya cantik. Tetapi hati ini masih serba tidak kena mengapa ?

Setelah aku amati baru aku tersedar hati aku ini macam lampu kelip-kelap ini juga. Kekadang nyalaannya terang berwarna warni dan kekadang secara otomatik ianya boleh malap sendiri mengikut rekaan litarnya. Baru aku sedari ada beberapa perkara yang mencuit hati kecil ini. Sobri, Nana, dua anak remaja perempuanku di KL dan di Ipoh. Keluarga di kampong dan kewangan yang meruncing. Umur ini semakin hampir di penghujungnya. Kesihatan yang kian menurun. Hutang dan pinjaman yang selalu meningkat. Oh inilah diantara sebabnya?

Mengapa aku harus hanyut dengan permasalahan ini? Sedangkan Ramadhan di hadapan aku sekarang. Patutnya aku rebut ruang ibadah sebanyak-banyaknya dengan gandaan pahala dan kebajikan yang besar. Patutnya aku harus mula mengintai malam Al Qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Sepatutnya aku mesti mula membaca Al Quran. Sepatutnya aku cuba selak-menyelak saki-baki duit yang mungkin tersimpan untuk disedekahkan. Ya itu patut aku lalukan dulu.

Semoga keceriaan lampu kelip-kelap aku ini dapat menceriakan aku selapas ini. Walaupun malap seketika tetapi aku yakin iaya akan terang-benderang lagi. Aku tahu akhirnya ia akan ditutup kerana hari telah siang atau dibuang kerana ianya tidak berfungsi lagi. Begitu juga dengan aku ini.

Saturday, July 30, 2011

Marhaban Ya Ramadhan

Cuma sehari dua lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan Al Mubarak. Bulan yang diberkati dan dirindui oleh ahli ibadat. Mengapa pula mesti merindui bulan Ramadhan ini? Bukankah semua bulan itu sama? Ini mungkin diantara jawapan daripada mereka yang tiada lengkap imamnya. Mungkin mereka merasa gusar dan risau kerana terkongkong segala rutin mereka. Tidak boleh makan dan minum satu hal. Ini tidak boleh bersama isteri di siang hari satu hal lagi. Tidak boleh melihat, mendengar bercakap yang tidak baik. Tidak boleh kacau orang lain. Susahlah hidup ini kata mereka. (Pohon dijauhi Allah dari sikap sebegini)

Namun sebagai insan soleh dan solehah memang sangat merindui Ramadhan Al Mubarak. Mana tidaknya, ini adalah masa pesta dan temasya ibadah. Di awalnya rahmah Allah, di tengahnya keampunan Allah dan di akihrnya kebebasan dari api neraka Allah. Tiga anugerah atau pingat yang akan diterima oleh mereka yang dikehendakiNya. Setiap ibadah dilipat-gandakan pahalanya.

Ibadah tidak terhenti kepada solat dan puasa. Banyaklah bersedekah dan menolong orang. Utamakan dahulu keluarga yang terdekat, kemudian jiran dan sahabat handai. Cari peluang untuk memberi makan orang lain yang berpuasa kerana ganjarannya seperti pahala orang yang berpuasa itu juga.

Solat sunat Tarawikh jangan sesekali ditinggal dan diabaikan. Jika mampu buatlah di setiap malam di suaru dan masjid. Jika tidak berkesempatan buat saja di rumah bersama anak dan isteri. Pahalanya terlalu besar dan ianya cuma ada di bulan yang istemewa ini. Malam Al Qadr jangan dilepas peluang beribadah padanya, Ganjaran 1000 bulan pahala Allah kurniakan. Carilah pada 10 malam terakhir.

Kemudiannya lagi natijahnya kita akan mendapat kenaikan pangkat ke Makam Taqwa. Inilah ganjaran yang sedia menanti bagi mereka yang merindui dan melaksana ibadah-ibadah di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak.

Ya Allah kurniakan kami peluang beribadah di bulan muliaMu dan permudahkan kami melaksanakan suruhanMu. Semoga kami dikurniakan Makam Taqwa.

Sunday, July 17, 2011

Iri Hati atau Cemburu?




Ziarah kami ke Al Barakah melihat perkembangan Muhammad Sobri. Sayu hati kerana tiada lagi dapat kelihatan kenakalannya di rumah. Beliau manja membahasakan diri dengan panggilan "adik".


"Kenapa kakak lama tak balik Penang, di dah lupa kat kita ke?" "Dak, kakak kan baru kerja tentu dia sibuk ," jawab seorang ibu menenangkan hati si adik. Mungkin ini diatara rindu atau iri hati seorang adik. Bila jauh tertanya-tanya tetapi bilah berdekatan maka bercakaran pula.


"Seronok ya dapat keluar bersama abang cam ini, abang selalu sibuk dengan kerja aje, kan best sekali sekala makan-makan begini." Aku terasa cemburu dengan mereka atau mungkin kesian kerana dilaghokan cuma aktiviti kekeluargaan sahaja sedangkan masyarakat dan jemaah pun menagih perhatian mereka.

Along kelihatan di tengah dan kiri sekali, telah menjadi ahli IKRAM dan telah mengikuti Tarbiah IKRAM Tahap 02 Alhamdulillah. Semoga beliau akan terus beristiqamah dengan jamaah ini.


Ini adalah fenomina hidup yang mempunyai berbagai ragam. Jika hanya menekan satu sudut, sudut yang lain terabai, begitu juga juka hanya menekan sudut lain sudut yang asas tadi pula terabai. Diri dan keluarga ada haknya tersendiri, maka begitu juga masyarakat dan jamaah.

Susah dan senang jamaah tetap diberi keutamaan, itulah pegangan yang diamanahkan. Hj Atan yang di sebelah aku merupakan Bendahari IKRAM SPT dan bekerja sepenuh masa dengan IKRAM Negeri Pulau Pinang sebagai SUK.


Perlu ada masa untuk diri sendiri begitu juga perlu ada masa untuk keluarga. Namun jangan pula ditinggalkan urusan-urusan masyarakat dan jangan dialpakan tanggung-jawag sebagai seorang ahli jamaah atau pertubuhan.


Semua perbuatan kita ada bersebab dan sebab-sebab ini yang memberi kita alasan. Tetapi adakah alasan ini benar-benar ikhlas atau pelepas diri kerana mahu sentiasa berada di dalam zon selesa. Teringat aku akan Surah Al Muzammil, Nabi diminta bangun dari berselimut. Kenang-kenangkan lah!

Thursday, July 14, 2011

Pelangi Tempiasan Mentari


Kamar sepi
Aku sendiri lagi Gelap dan sunyi Entah apa hidup ini
Kemarin, hari ini dan esok lagi
Aku tetap sebegini
Ahh apa aku peduli
Mereka semua tidak mengrti
Aku masih aku dan mereka nafsi-nafsi
Mereka berseloroh tak kering gusi
Aku keresahan hari demi hari
Berkecai hancur remuk di hati

Tidak aku faham hidup ini
Dulu semasa kecil aku pernah diuji
Masa sekolah hinggalah aku masuk Poli
Dugaan dan ujian masih mengekori
Ustaz kata kifarah dosa aku untu diampuni
Meningkat derajat di akhirat nanti

Di hujung usia ini
Penat aku menanti
Perubahan dari ketentuan Illahi
Selangkah demi selakah aku cuba hampiri
Tikar sembahyang usang hamparan diri
Mohon leraikan segera kedukaan ini

Indahnya kelihatan pelangi
Hasil dari cayaha hujan tempiasan mentari
Baru aku faham susah dahulu senang kemudian hari
Semoga sisa hidup mampu aku tempohi
Bersama jamaah aku dokongi
Hidup mulia mati syahid aku idami

Nukilan : A MOSAINI PG

Tuesday, June 21, 2011

Sakit Gigi?

Jumaat baru-baru ini, pendrive aku bengkok dilanggar kerusi di meja pejabat aku. Punyalah tension 16G punya memori. Boleh kata maklumat 'satu donia' ada dalam pendrive itu. Dari data kerjaya, data peribadi, silat dan pertubuhan yang aku bergiat aktif. Aduuh.



Tetapi aku cuba bergajak macho dengan menenangkan hati ini agar hari-hari mendatang berjalan seperti biasa. Balik ke rumah aku beritahu Ida akan perkara ini dan meminta beliau bersedia jika mood aku tiba-tiba berubah. Nyata tangkapan aku melesek. Beberapa insiden aku tidak dapat kawal perasaan. Hari Sabtu gigi aku terasa sakit di bahagian atas sebelah kanan. Pernah beberapa tahun dahulu gigi aku sakit dan apabila pergi ke kelinik doktor kata gigi aku ok mungkin aku tension. Menurut doktor gigi boleh sakit dengan sebab tension.


Jiran sebelah rumah bekalkan pain killer rasa banyak lega. Sebelum itu aku sapu minyak Cap Kapak saja dengan kapas. Tetapi bertambah sakit. Malam Isnin itu aku ada kelas tambahan mengajar silat. Kesian salah seorang dari pelajar yang menggangu anak bauh aku telah aku marahi dia. Tetapi bila habis latihan aku rasa mengesal kenapa aku bertindak melampu sebegitu. Patutnya aku bertindak bijak dengan menegurnya dengan baik.


Itulah kita yang ada kalanya lupa dan bertindak kurang bijak. Semoga kita sentiasa beringat-ingat sesama kita. Alhamdulillah sehingga kini aku tidak sakit gigi lagi. Memang betul hari itu aku cukup tension. Baru ingat nak jaga gigi takut dia betul-betul sakit jenuh nanti.

Monday, June 6, 2011

Jaga Fizikal, Kawal Mental dan Pertingkatkan Amal Rohani.

Dari pandangan mata mungkin ada yang perasan keadaan yang aku alami ini. Ust Rozee telah bertanya, "Anta tak sihat ke Li?" Aku jawab spontan, "Ok sihat alhamdulillah". seolah-olah aku cuba menyembunyi sesuatu. Itulah firasat hati seorang sahabat sekilas pandangan telah dapat mengagak sesuatu yang berbeza. Namun aku sendiri pun sememangnya merasa serba tidak kena, kerana sesekali rasa sakit di bahagian kiri pinggang ini. Telah beberapa kali ke kelinik dan ambil ubat, kata doktor ianya cuma urat yang membengkak. Mungkin tersalah makan, makanan yang berangin seperti taugeh atau kacang panjang dan mungkin juga banyak minum minuman berais. Hari Sabtu tanggal 4 Jun 2011 yang lalu, ramai rakan-rakan yang bersama membantu perpindahan Pejabat IKRAM Pulau Pinang dari Samagagah ke Seberang Jaya. Aku cuba menyertainya membuat apa yang terdaya walaupun pinggang ini beberapa kali sakit dan ada kalanya tidak boleh berjalan. Aku cuma berhenti dan berdiri diam sahaja.

Hari Ahad 5 Jun 2011 pula aku bersama Hj Atan dan Ustaz Sazali telah ke Nur Lembah Lenggong meninjau tapak mukhayam yang bakal dilalui oleh ahli-ahli teras IKRAM Zon Utara. Tempatnya memang bagus dan sesuai untuk aktiviti lasak tetapi aku agak risau juga samada diri aku ini masih boleh mengikutinya nanti. Tugas yang bakal aku pikul nanti agak berat juga sebagai Kem Komanden. Namun aku pasrah dan aku mampu melaksanakan tugas ini.

Pagi Isnin aku menelefon Hajjah Siti Fadzilah Bt Meor Abdul Rahman, "Umi, duit transport Umi sejumlah RM300 telah Cikgu Kasturi masukkan dan Cikgu Majid telah tempah penginapan Umi di SP Inn". Belum apa-apa Umi bertanya, "Cikgu Rusli ni tak sihat ke, suara pun dengar lain". Itu naluri seorang yang arif tentang pengalaman kehidupan. Anankanda kepada Mahaguru Silat Seni Gayong Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman, beliau agak rapat dengan aku dan pernah menginap di rumahku satu ketika beberapa tahun yang lalu. Beliau begitu beria-ia benar ingin menghadiri walimahtul urus cucunda Dato Abdul Majid Mat Isa di Gurun Kedah pada hari Selasa 6 jun 2011 ini.

Itulah diantara firasat yang tepat yang mendorong mata hati membuat telahan. Dengan air muka, dengan nada suara seseorang insan mampu membuat penilaian yang tepat. Kepekaan dua insan tadi mengharukan diriku ini. Ada juga insan yang sensitif dengan meneliti akan kesihatanku ini. Tetapi hidup ini selain unsur fizikal ada dua lagi unsur yang memberi kesan kepada diri kita ini. Satu, unsur mental atau minda, seperti tekanan kehidupan, kerjaya, keluarga, wang ringgit, amanah serta tanggung-jawab dan lain-lainnya tetap menjadi penyebab untuk memberi kebahagiaan hidup. Satu lagi ialah unsur rohani kita, hubungan dengan Allah, ibadat dan segala yang melibatkan peningkatan iman dan amal. Unsur ini jangan sesekali kita abaikan kerana ianyalah yang akan kita bawa ke alam yang kekal nanti. Rohani atau spritual merupakan aspek yang amat penting yang ramai kita lupa dan alpa.

Jadi rumusannya disamping aku kena jaga kesihatan, kenalah juga memberi perhatian kepada minda agar sentiasa terkawal dan yang lebih penting amalan kerohanian yang berterusan dan bertambah untuk melengkapkan bekalan ke akhirat nanti.

Sunday, May 22, 2011

TAARIF KE 2 Dilaksana oleh IKRAM SPT

Aku teruja apabila IM membalas sms ku, "NOTED". Mungkinkah beliau akan hadir ke program TAARIF ke 2 ini, atau sekadar memerima sms ku itu. Alhamdulillah beliau datang juga dan kami bertemu di tempat letak kereta sambil sama-sama bergegas naik ke Pejabat IKRAM. Aku merasa dan menunggu penulisan beliau kelak di dalam blog sukaan ramai INSAN MAHAEM.


Minggu ini giliran Ustaz Hamizat Ahmad untuk menyampaikan pengisian. Seorang jurutera bahagian kualiti di sebuah kilang industri milik Amerika Syarakat. Lihatlah pada gambar yang aku sisipkan, bersemangat sungguh ustaz muda ini.

Mungkin minggu ini tidak ramai yang hadir namun program ini berjalan baik. Soalnya yang penting usaha kita untuk menjemput mereka yang sudi untuk bersama dakwah dan tarbiah IKRAM.


Respect betul dengan penganjur program ini, Ustaz Rozee Abdul Razak TYDP IKRAM SPT yang mencetus program sebegini. Dalam tujuan menyampaikan semangat dan kesedaran kepada bakal ahli dan ahli IKRAM. Sambil pengisian tentang sejarah dan peranan kita umat Islam, sambil itu menjemput tenaga yang sudi untuk bersama.


Dalam pengisian yang menarik hatiku ialah jangan kita menjadi robot yang diprogramkan untuk melakukan kerja-kerja ulangan siang dan malam. Manusia ini besar amanahnya, ada tugasan untuk membina ummah.


Mungkin giliran aku pula pada minggu hadapan untuk menyampaikan pengisian. Semoga aku bersedia kelak. Mungkin juga akan aku menggunakan rumah aku sebagai lokasi proram ini tidak di Pejabat IKRAM Pulau Pinang. InsyaAllah.




Sunday, May 15, 2011

Di mana sahabat ku?




Setelah berjumpa dan bermesyuarat beberapa kali maka dipersetujui untuk mengadakan satu program 'TA'ARIF HALAKAH pada HAri Sabtu ini 15 Mei 2011 jam 9.45 pagi.' Aku pun menghantar SMS kepada dua insan yang rapat dengan aku. Mereka ini masih belum aku berjaya untuk mengajak bersama ku memacu IKRAM di daerah kami ini, SPT.

Aku merasa bersalah kerana lambat memberi infor, namun aku masih berharap Allah memberi mereka peluang, kekuatan, taufik, hidayah dan mengampunkan aku yang selalu terleka ini. Ini menyebabkan kedua-dua sahabat rapat ini tidak boleh bersama. Tapi aku masih berharap lagi.

Progam pagi ini berjalan lancar. Ada dua sasaran yang dibuat. Satu untuk mereka yang sudi bersama IKRAM dapat difahami akan Fikrah Islam dan mahu ditarbiah dan berperanan mengikut kemampuan masing-masing. Satu lagi untuk TOT (Training Of Trainer). Mudul mengabungkan ISK - Ini Sejarah Kita, IPK - Ini Peranan Kita, SH - Shahadatu Haq - Kebenaran Shahadah dan beberapa maklumat kepentingan kita duduk dalam sistem tarbiah.

IKRAM SPT mensasarkan keahliannya mampu mencecah 240 ahli pada penghujung tahun ini. Sehingga sekarang telah berjaya didaftarkan 69 orang. Cuma 1/4 sahaja tercapai. Maka inilah program ini diusahakan. InsyaAllah pada tiap-tiap minggu jadi kedua-dua sahabat aku tadi masih ada harapan untuk hadir. Aku kerja lebih keras lagi. Inilah kerja Dakwah dan Tarbiah.

Friday, April 22, 2011

Usrah suatu ikatan ukhuwah

Dari kiri Muaz bercita-cita ingin ke UIA bidang undang-undang, Mustafa dan Luqman lepasan STAM menunggu ke IPT dan kanan sekali Imad adik Mustafa akan temuduga Isnin ini untuk lalauan ke Australia. Semoga Allah memberi ketenangan dan memudahkan mereka ke IPT yang dipohon Amin.



Baru sahaja habis berusrah dengan anak-anak remaja ini di rumah aku. Malam ini tidak ramai yang hadir, mungkin ada hal-hal yang penting yang memungkinan ketidak-hadiran mereka. Namun rutin ini wajib diteruskan. Aku diamanahkan memimpin anak-anak remaja ini agar mereka berkemampuan meneruskan risalah dakwah ini bersama jamaah IKRAM.



Malam ini aku memilih tajuk mengenai persoalan USRAH itu sendiri dan mengujudkan perbincangan di kalangan kami. Aku kutip kata-kata daripada Al Ustaz Hassan Al Banna yang menjadi pelupur gerakan Islam masakini, menyebut "Usrah adalah ikatan perpaduan. Dipimping ke arah contoh-cantoh amalan yang terpuji. Meningkatkan mutu persaudaraan atau ukhuwah, tingkatan percakapan biasa dan pandangan teori kepada perbuatan dan amalan."



Kami kutip lagi kata-kata Al Ustaz Mustafa Masyhur, " Usrah itu usaha pembinaan jamaah. Halaqah ilmu dan tarbiah. Ta'awun, persefahaman, bahu-membahu, bekerjasama dan menyelesaikan masalah. Tingkatkan kasih sayang, nasihat dapar diberikan dan diterima serta dimanfaatkan."


Walaupun aku sendiri keletihan kerana tugasan seharian namun aku bersyukur dapat bersama anak-anak remaja ini. Semoga kita boleh mampu istiqamah meneruskan agenda pembentukan diri dan jamaah ini. Tiada jalan pintas dalam urusan tarbiah ini walaupun apa alasan kita dan aku merasa mereka amat beruntung kerana telah berpeluang menerima sentuhan dan belaian tarbiah dalam peringkat muda lagi. Semoga diberkati. Mulakan perubahan yang baik dari sekarang. Jangan ditunggu-tunggu kerana masa itu tiada boleh dibelakangkan. Mari bersama dalam kerja-buat yang baik, solaeh dan musleh ini. Mari !

Tuesday, April 19, 2011

TTC set up di RSK.



Sibuk menyediakan peralatan electronik untuk diajar kepada juruteknik baru nanti.



Setelah beberapa hari bertugas di Renesas Semiconductor Kedah (RSK) aku kembali ke Renesas Semiconductor Malaysia (RSM) di Bayan lepas, kilang induk kami. Jika blogger IM terasa kesunyian tanpa aku, aku pun begitu juga. Sudah enam hari tidak ketemu di tempat kerja. Namun dengan kesibukan projek baru aku "Renovation & Set Up of Operater Training Centre/Technician Training Centre in RSK" itu membuat aku hampir terlupa kepada RSM. Setiap kali pulang ke rumah pasti aku akan tertidur sampai waktu Maghrib. Jika malam itu tiada apa-apa aktiviti jamaah atau silat pasti juga aku pejamkan mata sehingga sesampai 12 atau 1 pagi, baru solat Isyak. Kak Ida memang sudah arif yang aku sungguh keletihan tetapi kadang-kadan jika perlu sangat beliau akan mengerakan aku apabila hendak pertolongan.


Diantara yang mendengar celoteh aku, "Hangpa tak puas hati kita settle kad luar".


Kemarin pinggang aku kesakitan, rasanya tiadalah makanan yang memungkinkan menjadi penyebab. Mungkin banyak mengangkat barang berat atau mungkin banyak meminum minuman berais. Pagi itu aku pergi ke kelinik di RSK meminta "Voltan" mungkin sejenis "pain killer" rasaku. Kemudian disebelah tengahari aku membeli pil dalam bentuk makjum ubat tradisional yang mengandungi diantaranya tongkat ali, ginseng dan rempah ratus lain. Dikatakan ianya baik untuk sakit pinggang dan lutut. Makannya dua biji pagi dan dua biji malam. Aku memang sedang mengalami sakit lutut akibat bersama mendaki 1/2 Bukit Bendera dua kali dalam seminggu dalam aktiviti RINTIS Global bersama murid-murid sekolah rendah Pulau Pinang pada beberapa bulan sudah.


Hari ini semangat aku tinggi, pagi tadi berjumpa blogger IM mungkin banyak berita yang hendak disampaikan. Tetapi tidak sempat bertanya banyak kerana beliau ada panggilan talipon. Ada beberapa perkara perlu aku bereskan di RSM pada hari ini. Selain dari poster-poster lima buah bersaiz A3 yang perlu dibuat untuk upacara perasmian LADA (Learning and Development Academy) di RSK, aku juga kena menyiapkan "training material" untuk "Level 2 Training" yang akan diguna-pakai untuk para juruteknik yang lama dan sebagainya. Jika "Level 1" untuk perkara asas sekarang "Level 2" untuk "operational & troble-shooting". Rasa sungguh teruja untuk menyiapkannya segera, namun masa tempohnya agak singkat iaitu pada bulan Jun 2011 harus siap sepenuhnya.

Esok aku perlu ke RSK lagi kerana ada sebuah mesin yang akan di tempatkan di dalam TTC (Technician Training Centre). Mesin ini perlu dialihkan sejauh 555 kaki dan kos mengubahnya sejumlah RM3K. Aku cuma "supervise" sahaja. Seronok juga bila masuk dan berkecimpong di dalam arena mengajar ini. Ramai kenalan baru dan berpeluang juga berinteraksi dengan yang lama.


Mohon doa dari sahabat sekelian mudah-mudahan segalanya berjalan mudah dan lancar. Amin. "Sorrylah, cerita pasal tempat kerja pula dan sorrylah lama tidak menulis" Semoga kita beroleh barakkah dan kesejahteraan.

Wassalam.

Monday, March 28, 2011

Jangan rehatkan aku sebelum waktunya.


Lamunan semalam sungguh indah dan membuat aku terasa amat gembira. Tetapi kegembiraan yang aku sendiri tahu cuma sementara dan bila ku sedari ianya suatu peristiwa yang telah berlalu. Suasananya telah berubah dan tentu tidak akan sama seperti sekarang. Jikalah aku berpeluang berada kembali pada masa lampau itu tentu aku dapat menikmati keindahannya lagi tetapi ini tidak mungkin.

Hakikat, kehidupan ini perlu diteruskan dan gunakanlah kesempatan yang masih ada dengan sebaik mungkin. Dugaan demi dugaan ini mematangkan kita lagi. Mungkin ada banyak kesilapan kita yang lalu maka membuat kita diuji sebegini. Moga ianya merupakan kifarah dosa-dosa yang dibalaskan setimpal dengan kelalaian diri. Semoga di akhirat tidak lagi disabitkan dengan dosa-dosa itu. Moga ianya diampuni dan dibasuh di dunia lagi daripada ditunda ke akhirat yang azabnya lebih dahsyat lagi. Allahu Akhbar !


Aku berazam akan membuat yang terbaik untuk jamaah yang aku dokongi iaitu IKRAM dan Pusaka Gayong. Dengan sedikit tenaga, kemampuan dan umur ini, aku cuba melaksanakan tugas-tugas sebagai AJK IKRAM bahagian Negeri. Namun tugas-tugas di daerah juga perlu aku buat sejajar dengan amanah yang aku pikul sebagai setiausaha IKRAM daerah SPT. Tentang silat mungkin jangan dibuka lagi persoalannya panjang pula penulisan ini nanti. Bersyukur peluang ini Allah beri untuk kesempatan menyemai bakti, kerana aku memafami tidak semua kita berpeluang sebegini.


Kadang-kadang aku ditegur oleh seorang dua sahabat, mengapa aku sanggup memegang beberapa amanah ini. Jawab aku mudah kerana tiada dan belum ada yang mahu, biar aku buat kerja itu dahulu daripada ianya kosong sahaja. Jika ada yang terjumpa atau yang sudi maka itu yang lebih baik. Memang jika ada ramai tenaga mudahlah sesuatu kerja itu dilaksanakan. Tetapi bila kita asyik menunggu kewajipan ini tiada terlaksana, maka lebih elok diperlakukan sedikit dan pelahan daripada tiada langsung. Kurang adalah lebih baik daripada tiada langsung. Sesungguhnya kerja kita ini banyak, masa, tenaga dan umur kita semakin kurang. Sudah tentu tidak mungkin kita cuma rehat-rehat selalu. Mudah-mudahan dengan sedikit pengalaman bersama jamaah sejak dahulu dapat diteruskan hingga akhir hayat. Cuma mungkin kecergasan membuat sesuatu itu agak kurang jika dibandingkan sebelum ini. Syukur isteriku sentiasa berada di sisi apabila aku memerlukan. Paling kurang menemani aku memandu semasa aku keletihan dan mengantuk. Namun aku berharap jangan direhatkan aku sebelum waktu rihat yang sebenarnya.

Monday, March 21, 2011

Air Mata di Raudhatus Sakinah

Wahai Tuhanku yang Esa. Bila mengenang QaharMu. Rasa gerun di hatiku. Kerana takutkan siksaMu.

Buat pertama kali aku sempat menjengok ke dalam rumah Raudhatus Sakinah Pulau Pinang (RSPP) menemani Hj Atan pada 15 Februari 2011 bersempena 12 Rabiulawal 1432. Hj Atan dijemput menyampaikan ceramah Maulud untuk pelatih di situ. Dahulu kami cuma membuat kerja-kerja amal membersihkan kawasan persekitaran sahaja. Aku terus memasang niat akan ke sini lagi untuk memyumbang sesuatu kepada pelatih di situ.

Hasrat ini tercapai pada hari Ahad 20 Mac 2011 baru-baru ini. Jam menunjukan 11.26 pagi aku dan isteriku Rahidah telah sampai di pintu pagar RSPP. Setelah menghubungi Pn Inayah pengurus dengan talipon, kami telah dibenarkan masuk oleh pertugas RSPP. Kelihatan ada satu keluarga bersama pelatih di ruangan hadapan rumah. Mungkin ziarah keluarga bisik aku di dalam hati.

Gambar hiasan sahaja. Anak-anak KITA.

Aku menyusun langkah ke ruang tamu dan melihat beberapa pelatih dalam lingkungan belasan tahun mungkin seramai 20 orang telah sedia menunggu kami. Siap dengan LCD projektor, laptop berserta screen atau paparan layar perak. Tajuk penyampaian "Matlamat Kehidupan" telah aku pilih khas untuk mereka.

Bermula dengan pengenalan diri aku teruskan dengan klip video "Bingkai Kehidupan" di mana memaparkan di antara aktiviti-aktiviti yang jamaah selenggarakan. Aluan nasyid iringan telah disambut baik dengan kedengaran beberapa bisikan suara-suara mengalunankannya bersama.

Aku hampir-hampir menitiskan airmata bila memainkan klip video kedua yang mengesahkan tentang perjuangan aluanan nasyid Soff One. Aku tahan namun mungkin ada yang perasan. Aku selang-selikan beberapa pengajaran setelah video klip ini aku mainkan. Hidup bak sampan di laut. Video seterusnya mengenai penderitaan rakyat Palestin yang sungguh menyentuh jiwa dan aku menyarankan agar mereka yang tergulong di kalangan kaum hawa ini semoga dapat melahirkan singa-singa pejuang bukan anak-anak ayam daging yang bakal disembelih sahaja. Peranan kita semua amat diperlukan, didiklah anak-anak bangsa dengan ilmu yang ditimba.
Rumah Raudhatul Sakinah Pulau Pinang. Mari berikan sumbangan dari segala aspek kemampuan.

Diakhir sesi, juga diatas permintaan seorang pelatih agar lagu nasyid Maher Zain, bertajuk InsyaAllah versi Melayu dimainkan. Oleh kerana tiada gambar video, aku meminta para pelatih memejamkan mata dan memaparkan gambaran sendiri di mata hati meraka. Kedengaran suara kecil teresak-esak dan aku menyatakan itulah hakikat kehidupan. Bila kita keseorangan mohonlah keampunan rahmat Tuhan dan teruskan kehidupan ini ini dengan lebih tersusun. Manfaatkan masa dan kesempatan yang ada. Aku hadiahkan dua bentuk key chain kepada dua orang pelatih kerana sudi memberi pendapat.

Aku pamerkan di sini VISI RSPP : Menjadi satu institusi pilihan bagi pembangunan insan yang membawa imej sejahtera untuk masyarakat majmuk. MISI : Merealisasikan tanggungjawab mencegah mungkar ke arah membenteras gejala sosial melalui kesedaran, bimbingan, perlindungan dan pembinaan jati diri remaja, keluarga dan masyarakat. Mendokong budaya kerja penyayang, efektif, proaktif dan efisien MATLAMAT : Mendokong budaya kerja penyayang, efektif, proaktif dan efisien. Membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup. Membantu remaja membina semula keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Mudah-mudahan kau dan aku akan tetap sentiasa di jalan Allah yang sebenarnya. YA Allah ampunilah dosa-dosa kami ini. Amiin. Aku melangkah pulang dan kedengaran suara-suara yang mengucapkan "terima kasih nanti pakcik datang lagi ya". "InsyaAllah" jawabku.

Friday, February 25, 2011

Redha Kepada Ketentuan Allah


Setiap insan punyai masalahnya tersendiri dan secara warasnya semua kita mahu masalahnya diselesaikan dengan segera. Jika dibuat kajian, pertama; masalah itu ada yang kecil dan ada yang besar. Cuma kita sahaja yang mampu membuat penilaiannya. Jangan dihimpunkan semuanya sebagai masalah besar dan jangan pula diremehkannya kesemuanya sebagai masalah kecil pula. Kecil atau besar masalah itu melihat kepada implikasi yang akan terjadi jika ianya tidak ditangani dengan betul.

Kedua; masa sebagai penyelesaiannya. Cara menyelesaikan masalah ini juga berbeza. Ada yang perlu tindakan segera dan ada pula yang boleh diselesaikan dengan lanjutan masa. Pandai-pandailah kita memilih yang lebih utama untuk diselesaikan. Sabar dan tenang akan menjadi pengubat yang mujarab.

Ketiga; jangan dicampur-adukan masalah ini pada masa mahupun tempat yang tidak sesuai. Masalah pejabat tinggalkannya apabila kita pulang ke rumah. Begitu juga masalah peribadi atau rumah-tangga jangan dibawa pula ke pejabat dan begitulah seterusnya. Jangan pula orang lain yang tidak berkenaan menjadi mangsa lepasan tekanan masalah tersebut. Itu tidak adil namanya.

Keempat; beri perhatian, perancangan dan tindakan yang sewajarnya. Cuba senaraikan kesemua masalah itu dan agihkan mengikut ketiga perkara tadi, buatkan petak-petak yang sesuai dan jadualkan satu persatu apa yang patut dibuat, bagaimana, bila dan di mana tempatnya.

Menangani masalah atau tekanan bukan perkara senang. Kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa tentu mempunyai tekanan perasaan yang tersendiri. Menerima hakikat ini ialah salah satu cara menangani tekanan. Jangan membuat sesuatu apabila dalam kemarahan telah memuncak. Ambil wudhuk atau mandi dan jauhi masalah itu seketika. Kalau ada kemampuan solat sunat 2 rakaat dan berdoalah. Kemudian datang kembali dan tangani masalah itu dengan tenang.

Ingat cuba asingkan masalah dengan bijaksana. Sekiranya di sekolah atau pejabat biarlah masalah itu di situ. Keluarga dan rumahtangga biar ianya habis atau tangguhkan di situ dan begitulah seterusnya. Carilah seseorang untuk meluahkan masalah ini sesuai dengan individu itu, masa dan tempatnya. Paling penting sekali kita redha dengan ketentuan Allah SWT selepas kita berusaha dan melakukan yang terbaik, akhir sekali berdoalah. Allah SWT sentiasa menanti hamba-hambaNya yang sudi memohon pertolonganNya.

Tuesday, January 25, 2011

Bersalaman diantara lelaki dan perempuan.

Bagaimana jika seseorang yang berlainan jantina datang dan menghulurkan tangan kerana ingin bersalaman dengan kita oleh sebab-sebab yang tertentu? Secara umum terdapat dua pendapat.
Pertama yang dipegang oleh kebanyakan ulama yang lepas dan sekarang yakni tidak dibenarkan.

Kedua pendapat ulama kontemporari yakni adalah lebih baik untuk tidak bersalam tangan dengan org yang halal kita kahwini, namun sekiranya seseorang itu boleh menyebabkan jatuh maruah seseorang itu, maka itu dibenarkan.

Di sini ingin dijelaskan bahawa Islam telah menutup segala pintu yang boleh membawa kepada hubungan yang haram antara lelaki dan perempuan. Bagaimana dengan kita? Tanyalah ustaz-ustaz dan ilmuan Isam untuk kemantapan kefahaman diri kita ini. Bukan sekadar isu pilihan raya tetapi pengamalan aktiviti harian kita.

Wednesday, January 12, 2011

Esok Masih Ada?

Muhammad Sobri tertidur mungkin keletihan atau boring semasa menemani aku bermesyuarat di KL. Aku dan isteriku sering membawa beliau bersama bila khuatiar beliau tinggal keseorangan di rumah.

Petang tadi aku menghatar sms kepada IM yang berbunyi, "Tiada teman minum petang le hari ini". Beliau menjawab, "Esok masih ada". Hari ini aku terasa boring kerana time makan tiada IM yang biasanya teman aku berborak-borak sambil tertanya khabar masing-masing. Hari ini beliau ke RSK anak syarikat kilang kami di Kulim. Hari Khamis ini 13 Januari 2011 giliran aku pula ke sana dengan misi mengajar kepada pekerja di sana mengenai 'kesilapan manusia'.

Ini rumah sementaraku dan bersama kesemua keluarga di sebelah isteriku Ida semasa Hari Raya beberapa tahun lalu.

Cuma aku merasa teramat risau bila membaca balasan sms IM kerana aku khuatiar jika esok tiada bagi aku. Bagaimana halnya keluargaku? Anak dan isteriku? Emak dan adikku di kampong? Lebih-lebih lagi anak bungsuku Muhammad Sobri tentu akan lebih terkesan. Rasa belum puas aku bersamanya. Tidak lupa juga anak-anakku yang lain. Mungkin mereka sudah cukup matang untuk berdikari. Tetapi aku masih risau.

Belum puas bersama anak-anak, bagaimanakah jika Allah memanggil aku kembali?

Aku cuma ada sebuah rumah dan kereta yang akan ditinggalkan. Alhamdulillahtelah beres bayaran ansuran pinjamannya. Cuma tinggal satu sahaja hutang pinjaman peribadi semasa mengubah suai rumah dan membayar balik kesemua ansuran kereta. Tetapi jangan risau anak-anakku jika abah meninggal syarikat insuran akan bayar balik pinjaman tersebut. Itulah yang aku faham semasa membuat pinjaman tersebut.

Mungkin tiada wasiat khusus dariku, pandai-pandailah kamu semua mengurusnya setelah kamu urus jenazah abah nanti. Pesan aku kepada kalian, pelihara ibadah kamu, jaga akhlak, aurat dan pergaulan dan teruskan bersama jamaah khususnya IKRAM.

Semoga Allah SWT memberi keampunanNya dan mengizinkan kita menumpang di JannahNya.